Home Nasional 34 warga Malaysia gagal pulang kerana masalah logistik

34 warga Malaysia gagal pulang kerana masalah logistik

Sebahagian dari 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto IQBAL BASRI, 04 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR- Daripada 141 yang telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di China untuk kembali ke negara ini dengan menaiki pesawat AirAsia AK8265 dari Wuhan namun hanya 107 sahaja dapat dibawa balik.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, mereka dimaklumkan oleh Wisma Putra sebahagian yang telah berdaftar tetapi gagal menyertai penerbangan tersebut adalah kerana masalah logistik.

Ini kerana kebanyakan mereka tinggal di luar bandar Wuhan dan sukar untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke bandar atau lapangan terbang.

Kesemua 107 penumpang termasuk 88 rakyat Malaysia dan 19 pasangan dan anak mereka yang bukan warga negara terpaksa melalui tapisan kesihatan yang dibuat oleh kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 pagi tadi, kesemua 107 penumpang dibawa menaiki bas ke Unit Bencana Udara (ADU) bagi menjalani saringan kesihatan dan malangnya dua daripada penumpang tersebut gagal melepasi tapisan kesihatan.

Kedua-duanya dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua 105 penumpang tersebut kemudiannya di bawa ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan untuk dipantau.

“Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga.

“Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis,” katanya.

Saringan kesihatan akan dibuat sebanyak dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan akan dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan, jelas agensi tersebut.

Katanya, Nadma telah dan sedang menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan mereka dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui.- MalaysiaGazette