Home Seni Hidup ADMS pemusnah pembiakan nyamuk aedes

ADMS pemusnah pembiakan nyamuk aedes

Ketua penyelidik produk inovasi ini, Prof. Madya Dr. Asmala Ahmad (kiri)memberi penerangan berkenaan AMDS kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia. Dato' Dr Gazali Abas sempena dengan Karnival Inovasi UTeMEX 2019 bertempat di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

KUALA LUMPUR – Kesukaran mengenalpasti kawasan pembiakan nyamuk aedes secara menyeluruh kini diselesaikan dengan mengguna Sistem Pemantauan Denggi Udara (ADMS).

Produk inovasi hasil teknologi dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berperanan sebagai sistem untuk memantau dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes berdasarkan teknologi hijau yang mesra pengguna, kata Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Raha Abdul Rahim.

Beliau berharap alat itu dapat membantu menghapuskan tempat pembiakan aedes dengan kos, logistik dan masa yang lebih efektif dengan cara mengenalpasti tempat pembiakan nyamuk aedes secara menyeluruh berdasarkan peta 3D beresolusi tinggi.

Sementara itu, tenaga pengajar dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM merangkap Ketua penyelidik produk inovasi berkenaan, Prof. Madya Dr. Asmala Ahmad menjelaskan bahawa idea ini lahir ekoran daripada kes-kes denggi yang berlaku dan statistik menunjukkan bilangan kes denggi semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Katanya, secara kebiasaanya bagi membasmi aedes dari segi operasi pihak berkaitan menerusi anggota pasukan bertugas ataupun orang awam secara lazimnya akan memasukkan serbuk abate ke dalam takungan air dengan anggaran isipadu air sebelum menaburkan abate iaitu 10 gram untuk 100 liter air.

Ujarnya, permasalahan atau halangan masih lagi ada kerana bukan semua takungan air yang menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes boleh dicapai oleh manusia kerana faktor ketinggian dan ketidakmampuan capaian.

“Justeru dengan ADMS berupaya menjatuhkan abate ke dalam struktur yang menakung air atau berpotensi menakung air termasuklah kawasan berstruktur di atas bumbung rumah yang menakung air,kawasan rumah tidak berpenghuni yang berpagar dan berkunci dan kawasan pembinaan yang berpagar,” katanya.

Beliau menjelaskan produk inovasi ADMS digunakan untuk menghasilkan peta 3D atau orthophoto beresolusi tinggi di mana ia boleh digunakan untuk menghasilkan model elevasi digital (digital elevation model) dengan garisan kontur elevasi yang terperinci yang boleh memberikan maklumat tempat berpotensi tinggi bagi pembiakan jentik-jentik aedes.

Sistem Pemantauan Denggi Udara (ADMS).

Menurut Asmala, daripada peta ini, radius 200 meter mengelilingi kawasan denggi yang dikenalpasti akan dianggap sebagai tempat paling berpotensi pembiakan jentik-jentik aedes dan di dalam kawasan tersebut juga struktur yang cenderung untuk menjadi tempat pembiakan jentik-jentik aedes paling sesuai dianalisa lanjut.

“Sasaran yang telah dipastikan paling berpotensi akan diperincikan kedudukannya dari segi lokasi mengufuk (x, y) dan lokasi menegak (z) seterusnya Abate yang dibungkus di dalam bunjut kain akan digantungkan pada alat pelepas ADMS menggunakan tali yang sesuai.

“ADMS kemudiannya dinavigasikan ke sasaran x,y,z yang telah dikenalpasti dan apabila ADMS tiba di sasaran x,y,z yang berkenaan, kamera video pada ADMS digunakan untuk memastikan sasaran berada betu-betul di bawah abate yang tergantung dengan mengambilkira keadaan laju dan arah angin sewaktu abate hendak dilepaskan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, menggunakan fungsi yang ada pada smartphone atau controller, abate akan dilepaskan dengan berhati-hati dengan pemantauan dari Kamera video pada ADMS digunakan untuk memastikan abate telah jatuh tepat dan mengenai sasaran x,y,z yang berkenaan”, ujar beliau mengakhiri temubual.

AMDS mula dibangunkan bermula daripada tahun 2016 yang mana projek ini dihasilkan bersama dengan seorang pelajar Doktor Falsafah di FTMK, Mohd Yazid Abu Sari.

Pembangunan platform sistem remote sensing peribadi atau personal remote sensing system (PRSS) telah siap pada tahun 2016 dan pada tahun 2017 sistem ini ditambahbaik dengan sistem navigasi automatik dan pengesanan kedudukan (tracking).

Penambahbaikkan dilakukan sekali lagi pada tahun 2018 dengan sistem kamera dengan resolusi dan keupayaan spektral yang lebih tinggi danpada tahun 2019, sistem ini telah dilengkapi dengan alat pelepas abate (bahan pemusnah larva nyamuk aedes) dan telah mula digunakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.- MalaysiaGazette