Home Nasional Akta Kredit Pengguna bakal dibentangkan tahun ini

Akta Kredit Pengguna bakal dibentangkan tahun ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Program Sesi Ramah Mesra YB Menteri bersama Rakan Strategik Kepenggunaan KPDNHEP di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA- Akta Kredit Pengguna akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat tahun ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pada masa ini, akta itu telah diselesaikan pada peringkat kementerian dan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita tahu proses penggubalan memakan masa sebab itulah kementerian harap dapat dibentangkan pada tahun ini walaupun tidak menetapkan tempoh masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama rakan strategik kepenggunaan KPDNHEP di kementeriannya hari ini.

Saifuddin berkata, sekiranya diluluskan, ia akan menjadi akta yang akan mengurus dan mengawal selia aktiviti pemberi pinjaman.

“Ia akan meliputi semua perkara termasuklah perlindungan, tatacara dan proses,” ujarnya.

Saifuddin memberitahu, dengan adanya akta itu aspek pemberi pinjaman akan menjadi lebih baik.

“Itulah yang kongsikan dengan rakan strategik hari ini. Ternyata ia menggamit beberapa reaksi menarik,” tambah beliau.

Ketika ditanya sama ada akta tersebut merangkumi 13 akta berkaitan sedia ada, Saifuddin berkata, ia akan dimuktamadkan kelak.

“Daripada segi penggubalannya, ia mengambil kira kesemua peruntukan-peruntukan yang ada di dalamnya. Jadi samada ada ia berakhir dengan akta tunggal, atau dibacakan bersama ia akan dimuktamadkan,” katanya.

Terdahulu dalam sesi itu, Saifuddin mendedahkan tanggunggan bagi setiap isi rumah adalah tinggi berikutan bebanan hutang.

“Ini adalah antara ikhtiar kerajaan untuk membendung hutang isi rumah yang membengkak dan sekali gus menyebabkan keadaan “tidak sihat” kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, timbalannya, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sesi libat urus itu merupakan komunikasi dua hala kementerian dan pemegang taruh, rakan strategik, peniaga, pengguna dan badan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette