PUTRAJAYA – Atas rasa ‘terhutang budi’ dengan Malaysia, Pakistan menyatakan kesediaan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, pihaknya bersedia untuk mengimbangi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan India yang bertindak memboikot minyak sawit Malaysia.
Sambil melahirkan rasa kecewa dengan tindakan India, kata Imran pihaknya sememangya berhasrat untuk mengimport minyak dengan banyak pada masa depan.
“Kami hakikatnya sangat berminat lagi-lagi apabila India bertindak mengugut Malaysia selepas Perdana Menteri, Tun Mahathir memberikan kenyataan terbuka tentang krisis Kashmir.
“Pakistan akan sedaya upaya dan terbaik untuk ‘membayar balik’ ugutan itu dengan mengimport lebih banyak minyak sawit dari sini pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media sempena lawatan rasmi dua hari bermula semalam.
Imran juga mengakui Pakistan sebenarnya lebih daripada terhutang budi dengan tindakan serta keberanian Mahathir mengeluarkan kenyataan seumpama itu walaupun sedar dengan berhadapan dengan krisis lain.
“Saya sememangnya mahu berterima kasih, rakyat Pakistan sememangnya begitu terhutang budi dengan Tun Mahathir dan Malaysia. Saya sebahagian daripada rakyat Pakistan ingin mengucapkan terima kasih kerana kelantangan Malaysia dengan apa yang berlaku di Kashmir.
“Tindakan radikal kerajaan India terhadap Pakistan sememangnya sesuatu yang tidak boleh diterima. Ramai yang dipenjarakan, golongan muda juga dianiayai. Perdana Menteri Malaysia telah berdiri teguh dan menyokong ketidakadilan berlaku kepada kami. Terima kasih,” ujarnya.
India, antara pengimport minyak makanan terbesar dunia sebelum ini bertindak menghentikan pesanan minyak sawit dari Malaysia dan meminta pengimport untuk membeli sumber itu dari tempat lain.
Ini berikutan kenyataan Mahathir baru-baru ini berkata India telah ‘menyerang dan menduduki negara’ Jammu dan Kashmir.
Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam menjadi rebutan antara India dan Pakistan, ia juga terbahagi yang mana kedua negara itu memerintah sudah menguasai sebahagian daripadanya.
Kerajaan India menarik balik autonomi Kashmir pada tahun lalu untuk mengetatkan cengkamannya di wilayah itu.
Ia juga menutup akses internet dan menahan aktivis dan ahli politik manakala Mahkamah Agung India beberapa bulan lepas telah memutuskan tindakan penutupan internet di Kashmir adalah tidak sah.
Mahathir yang sebelum itu mengadakan perbincangan dua hala dengan Imran juga mendedahkan krisis kelapa sawit juga merupakan antara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini. –MalaysiaGazette