Home Nasional Permohonan Joanna batal saman Najib didengar April ini

Permohonan Joanna batal saman Najib didengar April ini

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Perhubungan AmBank Islamic Bhd, Joanna Yu Ging Ping mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Najib Razak akan didengar pada 15 April ini.

Joanna yang juga merupakan antara saksi penting bagi kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd mahu membatalkan saman terhadapnya yang mendakwa pendedahan maklumat akaun bekas perdana menteri itu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ia dimaklumkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu media selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris hari ini.

Joanna diwakili oleh Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.

Kata Muhammad Farhan, Khadijah juga mengarahkan defendan pertama iaitu AmBank dan AMMB Holdings Berhad selaku defendan kedua memfailkan permohonan yang sama selewat-lewatnya 2 Mac ini.

Mahkamah turut menetapkan empat hari mulai 14 Disember untuk perbicaraan kes saman itu.

Sementara itu, Gurdial pula memaklumkan mahkamah membenarkan Joanna selaku defendan ketiga memfailkan penyataan pembelaan selepas pendengaran permohonannya untuk membatalkan saman tersebut.

Joanna yang sebelum ini bertindak memfailkan permohonan itu dengan alasan saman difailkan Najib menyalahgunakan proses mahkamah dan hanya untuk mengukuhkan pembelaannya dalam kes SRC International.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, Najib berkata defendan mempunyai tanggungjawab daripada segi undang-undang untuk menjaga dan melindungi operasi hal ehwal akaunnya.

Menurut plaintif (Najib), defendan (Ambank) melanggar kawajipan mereka dan Joanna pula cuai dalam tugasnya bagi menjaga ketiga-tiga akaun berkenaan.

Najib mendakwa, defendan mendedahkan maklumat akaunnya kepada Jho Low yang tidak diberi kuasa dan dengan sengaja membenarkan serta memudahkan urusan akaunnya dimanupulasi dengan cara menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette