Home Nasional Struktur semula promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

Struktur semula promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mempengerusikan Mesyuarat Tourism Recovery Action Committee di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menstruktur semula pelan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) susulan penularan wabak koronavirus yang telah menjejaskan kemasukan pelancong dari China.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,  Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya telah merangka strategi pantas dengan menyasarkan pasaran jarak dekat negara-negara ASEAN sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelaancongan negara.

Katanya, kementeriannya memberi fokus kepada pasaran negara Eropah, Australia, Timur Tengah, Asia Tengah, Rusia serta Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan bagi menarik pelancong berkualiti untuk berbelanja besar di negara ini sempena TMM2020.

“Menyedari kebimbangan penggiat industri pelancongan tanah air yang kini mengalami gangguan ekonomi akibat penurunan pelancong dari China, saya bersama pengurusan tertinggi kementerian dan Tourism Malaysia akan mengadakan sesi town hall industry player bagi mendapatkan input dari mereka untuk pertimbangan lanjut pihak kerajaan dalam usaha memulihkan sektor pelancongan negara.

“Selain itu, saya juga akan membuat perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Selangor untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pemulihan industri pelancongan di negeri masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di kementeriannya hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan serta penggiat industri pelancongan negara membincangkan dan merangka startegi pemulihan industri pelancongan susulan krisis Novel coronavirus yang telah memberi kesan kepada industri pelancongan global.

Dalam pada itu, Mohamaddin juga telah mengarahkan Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi kempen Domestik Cuti-Cuti Malaysia sebagai langkah mengukuhkan pelancongan domestik negara serta mengimbangi kemerosotan pelancong asing ke Malaysia.

Ujarnya, pihaknya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia untuk menerokai laluan penerbangan baharu terutama dan Eropah, timur tengah dan juga Asia Tengah memandangkan banyak openerbangan ke China buat masa ini telah pun dihentikan.

“Pasaran baharu ini saya yakini mampu memberi pulangan ketibaan pelancong serta perbelanjaan pelancong yang lumayan ke Malaysia seperti yang telah disasarkan oleh pihak kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 iaitu 30 juta ketibaan pelancong asing dengan RM100 bilion perbelanjaan pelancong,” tambahnya. – MalaysiaGazette