Home Dunia Taiwan dakwa China mengehadkan akses maklumat koronavirus

Taiwan dakwa China mengehadkan akses maklumat koronavirus

Joanne Ou. foto Agensi

TAIPEI – Taiwan menyifatkan China sebagai keji kerana menghalangnya daripada mendapat maklumat tepat mengenai wabak koronavirus daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Taiwan bukan ahli WHO kerana penentangan China.

Ini kerana menurut Beijing, Taiwan adalah wilayahnya dan sudah memadai diwakili oleh negara tersebut.

Namun, Taiwan berkata, ia bukan dan sama sekali tidak pernah menjadi sebahagian daripada China.

Semalam, China memaklumkan kepada WHO yang negara itu telah berkongsi maklumat penuh mengenai koronavirus dengan Taiwan dan komunikasi mengenai penularan virus itu berjalan lancar antara kedua pihak.

Tetapi, jurucakap Menteri Luar Taipei, Joanne Ou berkata, maklumat yang diterima Taipei sangat terhad dan ia tidak diperoleh dengan cepat.

“Walaupun virus itu serius, mereka masih menggunakan prinsip ‘Satu China’ untuk menghalang Taiwan daripada mengambil bahagian dalam mesyuarat teknikal WHO,” katanya.

Taiwan telah melaporkan 10 kes virus berbanding dengan lebih 20,000 di China, yang mana wabak itu bermula di bandar Wuhan lewat tahun lepas.

“Di peringkat antarabangsa, Kerajaan China menekan Taiwan secara kasar dan tidak munasabah dan meletakkan pertimbangan politik di atas kesihatan manusia. Penyakit tidak mempunyai sempadan negara.

“Meletakkan pertimbangan politik dibuat terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat, pada dasarnya ia adalah sangat keji,” kata Ou.

Taiwan telah mendapat maklumat virus dari negara-negara yang bersahabat seperti Amerika Syarikat dan Jepun, katanya sambil menambah usaha pencegahan wabak Taiwan berfungsi dengan baik. – MalaysiaGazette