Home Nasional Taksub rawatan bomoh jadi cabaran KKM kekang kanser

Taksub rawatan bomoh jadi cabaran KKM kekang kanser

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (empat kiri) bersama Presiden of Women Girls, Low Ngai Yuen (kiri), Master of Academy Medicine Malaysia, Professor Dr. Rosmawati Mohamed (dua kiri), Organising Chairman World Cancer Day, Dr. Matin Mellor (tiga kiri) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (tiga kanan) merasmikan Hari Kanser Sedunia 2020 di Balai Ketibaan KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kecenderungan rakyat yang terlalu mempercayai rawatan perubatan alternatif  termasuk perkhidmatan bomoh didakwa sebagai punca utama peningkatan kes kanser di negara ini.

Ia terbukti apabila kebanyakan pesakit yang datang untuk ke hospital adalah mereka yang sudah dikesan kanser pada peringkat kritikal iaitu tahap tiga dan empat dan sudah sukar diubati.

Menteri Kesihatatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012- 2016 mendedahkan faktor perubatan alternatif memainkan kesan utama di mana 60 peratus daripada individu disahkan menghidapi kanser adalah dikesan pada tahap sudah kritikal.

Katanya, segelintir golongan berpendapatan rendah B40 dan golongan pertengahan lebih suka memilih rawatan alternatif sebagai kaedah penyelesaian utama selepas berdepan risiko penyakit kanser.

“Apabila sudah terlewat dan rawatan tradisional gagal memberi kesan yang diharapkan untuk kanser peringkat kritikal, barulah mereka risau akan kesihatan mereka dan cemas mendapatkan rawatan perubatan moden di hospital dan pusat perubatan pelbagai yang disediakan oleh kerajaan dan swasta.

“Kita perlu faham kos rawatan untuk kanser yang lambat dikesan dan didapati agak terlewat untuk merawat adalah lebih tinggi dan doktor sendiri tidak boleh memberi sebarang harapan atau jaminan rawatan pemulihan sepenuhnya kepada pesakit.

“Itu memang cabaran sekian lama belum ada petunjuk penyelesaian total dan sebab itulah pentingnya pendidikan pencerahan, penjelasan dan pendidikan perubatan sangat penting untuk disampaikan kepada rakyat khususnya wanita,” ujarnya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 di KL Sentral hari ini.

Beliau pada masa yang sama Dzulkefly menyatakan statistik menunjukkan sejak lima dekad lalu kanser menjadi salah satu daripada lima punca utama kematian di negara ini.

Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2019 menunjukkan kanser menyumbang 11.82 peratus kematian di hospital kerajaan berbanding 9.08 peratus pada tahun 1999.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga mengakui ketaksuban rakyat terhadap perubatan tradisional mengenepikan perubatan moden menjadi pengekang utama terhadap usaha kerajaan mengurangkan dan mencegah kanser.

Beliau menegaskan amanah mencegah kanser bukan hanya terletak sepenuhnya pada bahu KKM semata-mata tetapi memerlukan penglibatan seluruh masyarakat serta tenaga bersama rakan strategik dalam NGO dan swasta untuk memberi penerangan yang kanser  boleh dirawat dan dicegah sepenuhnya.

“Kita berdepan tanggungjawab besar meyakinkan rakyat bahawa kanser sebenarnya boleh dicegah menerusi rawatan awal jika dikesan peringkat awal lagi sekiranya semua mengamalkan gaya hidup sihat iaitu elak merokok, amalan pemakanan sihat.

“Ia tidak misi sukar tetapi dengan syarat komitmen dari individu itu sendiri dan mesej ini perlu disebarkan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan supaya tampil buat saringan dan sekiranya dikesan kanser tampil segera ke hospital lebih awal untuk mendapatkan rawatan untuk mencerahkan lagi peluang sembuh.

“Dalam usaha ini, kami akan menyebarkan maklumat benar menambah keyakinan rakyat supoaya mereka tampil untuk mendapatkan rawatan perubatan moden yang berasaskan bukti dan fakta tepat sekaligus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perubatan tradisional di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau turut diminta mengulas mengenai langkah kerajaan dalam meningkatkan jumlah pakar onkologis di negara ini yang bilangannya agak kurang.

Dzulkefly menjelaskan setakat ini, kerajaan telah menghasilkan seramai 52 pelapis bidang kepakaran itu  saban tahun menerusi dua program pengajian yang sedang dilaksanakan iaitu salah satunya adalah menawarkan program pengajian peringkat sarjana perubatan.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan sedang menyasarkan supaya kadar pakar onkologi ditingkatkan kepada nisbah seorang onkologi kepada 100,000 penduduk atau 10 onkologis untuk satu juta penduduk di masa akan datang.

“Sebenarnya ini adalah usaha berterusan KKM dan kita akan terus merangka pendekatan berkaitan supaya lebih ramai onkologis dilahirkan dalam kalangan doktor muda.

“Kita akan menggunakan Institut Kanser Negara sebagai platform untuk menggalakkan ramai golongan doktor muda di negara ini supaya berminat dan memilih kerjaya bidang Onkologi dengan mengambil kira sumbangan mereka yang sangat diperlukan dalam merawat kanser,” katanya.

Berdasarkan perangkaan terkini, Malaysia mempunyai 114 onkologi iaitu masing-masing 68 orang di sektor perkhidmatan perubatan swasta, Kementerian Kesihatan (33 orang) dan universiti (14 orang).

Dzulkefly juga ditanya sama ada bersedia mempertimbangkan cadangan dasar insentif dan pencegahan yang diamalkan kebanyakan negara-negara maju seperti Jepun yang memberi insentif cukai rendah terhadap rakyatnya yang mengekalkan amalan gaya hidup sihat.

Dzulkefly berkata; “Kerajaan meneliti semua mekanisme, termasuk sistem ‘insentif dan pencegahan’ membabitkan dasar berkaitan yang dilaksanakan di negara maju seperti Jepun dan sememangnya kami mengalu-alukan idea generasi muda yang inovatif, kreatif dan canggih seperti insentif dan pencegahan.

“KKM akan menjadikan ia antara sasaran untuk memastikan amalan gaya hidup sihat diterapkan dalam kalangan rakyat untuk mencegah kanser,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette