Home Seni Hidup Balu, anak-anak Lok-U terima faedah bulanan Perkeso

Balu, anak-anak Lok-U terima faedah bulanan Perkeso

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman (kanan) menyerahkan sumbangan kepada balu, Jamariah Yusof (dua kanan) pada Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada Waris Allahyarham Lok-U di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Balu dan empat orang anak pemuzik terkenal tanah air, Allahyarham Faizal Uzir atau dikenali sebagai Lok- U menerima faedah  Pencen Penakat setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jamariah Yusof, 40, dan semua empat anaknya yang masih belajar itu akan menerima RM1,266 setiap bulan atas caruman suaminya secara aktif ketika bekerja dengan Petronas sebagai pemain piano sejak tahun 1998 hingga tahun 2006.

Beliau dimaklumkan oleh wakil Skuad Prihatin Perkeso yang hadir ke kediamannya hari ini di Puncak Jalil, Seri Kembangan hari ini.

Ketika ditemui, Jamariah bersyukur kerana hasil caruman lapan tahun arwah suaminya sebelum menjadi pemuzik bebas akhirnya dapat membantunya, apatah lagi dalam keadaannya dirinya yang tidak bekerja.

“Saya tidak tahu sebelum ini caruman itu setelah berhenti ia akan ada faedah lagi kepada yang mencarum. Saya beruntung kerana suami mencarum, jadi rezeki untuk kami anak beranak masih ada,” katanya.

Balu, Jamariah Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada Waris Allahyarham Lok-U di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2020.

Semenjak suaminya meninggal dunia akibat sesak nafas pertengahan bulan lalu, Jamariah hanya menggunakan wang sedia ada sahaja untuk menampung perbelanjaan empat anaknya.

Allahyarham Lok- U meninggalkan tiga orang anak lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia antara 13 hingga 20 tahun.

Dalam masa yang sama, Jamariah bercadang untuk memulakan perniagaan dari rumah pendapatan demi menampung anak-anaknya dalam masa terdekat.

Anak pertama Jamariah dan Allahyarham Lok-U masih menuntut di Kolek Matrilkulasi di Kuala Pilah, kedua menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), ketiga bersekolah di SMK Puncak Jalik manakala yang bongsu di SMK Agama Subang Bestari.

Balu pemuzik tanah air itu hari ini turut menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Mustafa Draman.

Turut hadir Pengurus Pejabat Perkeso Kajang, R.  Thavamani. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lok-U meninggal dunia