KUALA LUMPUR – Ada pihak tertentu yang sengaja mahu memburukkan imej Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan membuat dakwaan yang tidak berasas.
Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Mustafa Draman berkata, pihaknya menguruskan wang yang dicarum secara jujur dan telus kemudian memulangkannya menerusi faedah kepada yang mereka yang layak.
Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat di media sosial khususnya Facebook sebagai mereka yang tidak faham tentang cara mereka menguruskan wang caruman ahli-ahli.
“Walaupun Perkeso dengar sekarang ini sangat banyak berita-berita yang cuba memberikan imej yang negatif kepada kami tetapi kami sebenarnya telah mencuba sebaik mungkin memberi bantuan atau faedah untuk kelayakan yang ada.
“Bukan kita semata-mata untuk mengambil caruman daripada majikan kemudian menjadikan ia sebagai duit tabungan kami sendiri.
“Kita faham apa yang diambil ini atas kapasiti yang layak diberikan semula, kita tidak menyembunyikan walau satu sen pun, kita beri semua mengikut kadar kelayakan yang ada.
“Perkeso mengurus secara jujur dan telus, kita tidak cuba beri hanya yang kita suka, yang tidak suka tidak bagi, bukan begitu. Komen dari Facebook dan sebagainya itu sebenarnya adalah mereka yang tidak memahami,” katanya.
Beliau terdahulu ditemui di kediaman pemuzik terkenal, Allahyarham Lok-U atau Faizal Uzir di Seri Kembangan dekat sini yang meninggal pada 22 Januari lalu untuk menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada balunya, Jamariah Yusof.
Walaupun Mustafa tidak menyebut secara spesifik dakwaan yang ditularkan di media sosial tentang Perkeso namun beliau menyarankan agar masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh sebaliknya menasihatkan mereka merujuk kepada pertubuhan itu untuk mendapatkan kesahihan.
“Ia (dakwaan) muncul daripada mana? Saudara-saudari sudah tahu tapi terus terang saya nyatakan di sini kami semua bukan mahu mempertahankan kelemahan kami tetapi kita ingin mengatakan bahawa apa yang disebut tidak berlaku, saya rasa saudara-saudari faham apa maksud saya.
“Saya tidak mahu menyebut puncanya daripada mana tetapi komen komennya sangat negatif berkenaan Perkeso.
“Insyallah kita akan mentadbir Perkeso dengan baik kalau ada yang tidak mempercayai dakwaam yang timbul boleh berhubung dengan kami terus,” katanya lagi.
Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak mempertikaikan syarat baharu Perkeso berkuatkuasa 10 Jan lalu yang menyatakan bahawa kelayakan pemohon untuk mendapat rawatan dialisis percuma dihadkan dan terikat dan tempoh dan jumlah caruman seseorang itu.
Selain diperkatakan secara meluas di media sosial, isu itu turut menarik perhatian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta Perkeso menarik balik syarat baharu yang disifatkan sebagai menafikan hak pencarum daripada menerima rawatan dialisis percuma.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: