Home Dunia Isteri PM Lesotho didakwa membunuh

Isteri PM Lesotho didakwa membunuh

Thomas Thabane dan isterinya, Maesaiah. foto Agensi

MASERU – Isteri kepada Perdana Menteri Lesotho akan didakwa kerana membunuh bekas isteri suaminya.

Maesaiah Thabane telah menyerah diri untuk siasatan polis.

Malah, Thomas Thabane turut disoal siasat mengenai pembunuhan itu.

Isterinya, Lipolelo Thabane, ditembak mati di luar kediaman di ibu kota Maseru dua hari sebelum pelantikan Thabane sebagai Perdana Menteri pada bulan Jun 2017.

Ketika itu, pasangan tersebut dalam proses perceraian.

Lipolelo, 58, tinggal bersama anak lelakinya selepas hidup berasingan dengan Thabane sejak tahun 2012.

Suatu petang ketika pulang ke rumah, dia diserang hendap, ditembak beberapa kali pada jarak dekat dan meninggal di tepi jalan.

Pembunuhan itu mengejutkan negara dan Thabane menggambarkannya sebagai “pembunuhan tidak masuk akal” dalam ucapannya selepas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

Dalam siasatan awal, pembunuhan itu dikaitkan dengan seorang lelaki bersenjata tetapi kertas mahkamah baru-baru ini yang difailkan oleh pesuruhjaya polis negara, Holomo Molibeli, telah menimbulkan persoalan lanjut.

Waran tangkap dikeluarkan untuk Maesaiah berusia 42 tahun pada 10 Januari lalu selepas dia hilang.

“Dia ‘diambil dari sempadan’ Afrika Selatan pada hari Selasa selepas ia diatur antara peguam Maesaiah dan polis, menurut jurucakap polis.

Pesuruhjaya Polis, Holomo Molibeli berkata, wanita itu kini ditahan dan akan didakwa pada hari Rabu.

Molibeli berkata, polis sudah bersiap sedia untuk membantah jika wanita itu memohon jaminan kerana beliau berisiko untuk melarikan diri.

Selain Maesaiah, lapan yang lain turut akan diheret dalam pertuduhan membunuh.

Thabane kini berdepan dengan tekanan rakyat yang menuntutnya melepaskan jawatan.

Beliau sudah pun mengumumkan pada 16 Januari lalu bahawa dia akan melepaskan jawatannya tetapi setakat ini tidak ada tarikh yang spesifik.

Thabane merangka keputusan untuk meletak jawatan sebagai persaraan, tanpa membuat rujukan terhadap tuduhan terhadapnya dan isterinya. – MalaysiaGazette

+ posts