Home Nasional LTdL perlu tampil sebagai jenama kukuh 25 tahun akan datang

LTdL perlu tampil sebagai jenama kukuh 25 tahun akan datang

KOTA KINABALU – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) berusaha mencipta pencapaian baharu bagi memastikan pelumbaan jelajah berprestij Asia itu mempunyai identiti dan jenama yang kukuh, 25 tahun akan datang.

Dr Mahathir yang mencetuskan idea penganjuran perlumbaan tahunan itu juga berharap LTdL yang diadakan sejak 1996, terkenal seperti Giro d’Italia and Tour de France yang menyaksikan peminat lumba basikal melakukan perancangan awal dan sanggup mengambil penerbangan jarak jauh ke Itali dan Perancis semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan itu.

“Saya percaya ini boleh dicapai. Pelumba kita kini bertaraf dunia, tetapi untuk sampai ke tahap itu, kita mesti mampu menarik minat penggemar sukan lumba basikal dan komuniti mereka.

“Kita perlu ada pelan komprehensif dan berusaha menjadikannya satu realiti,” kata Perdana Menteri menerusi klip video yang disiarkan menerusi skrin gergasi pada majlis pengenalan pasukan di Padang Merdeka di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, timbalannya Steven Sim Chee Keong dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe.

Dr Mahathir turut memberikan kata-kata semangat kepada semua pihak untuk memberikan yang terbaik sepanjang penglibatan mereka dalam perlumbaan kali ini termasuk pelumba, pegawai dan pengiring.

“Walaupun saya tidak berada di sini, saya akan mengikuti perlumbaan ini dengan teliti. Saya berjanji akan bertemu anda semua di peringkat terakhir (peringkat lapan) di Langkawi (14 Feb),” kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Sementara itu, Syed Saddiq memuji Human Voyage (M) Sdn Bhd selaku penganjur sambil mengajak rakyat di seluruh negara untuk memberi sokongan dan menjadi sebahagian daripada perlumbaan dengan menyokong pasukan kegemaran sambil menonjolkan layanan baik Malaysia kepada dunia.

Beliau berkata LTdL 2020 bakal menerima sejumlah besar penonton dari seluruh dunia kerana perlumbaan itu akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran seperti Eurosport 2 di 52 negara dan Eurosport Asia-Pacific di 11 negara.

“Perlumbaan itu juga akan disiarkan di Hainan TV, Qinghai Satellite TV and Zhibo TV. Qinghai Satellite TV mempunyai lebih 700 juta penonton berdaftar manakala Hainan Satellite TV mempunyai lebih 650 juta,” kata Syed Saddiq sambil menambah bahawa perlumbaan itu juga akan dipromosi secara meluas menerusi platform digital popular di China termasuk WeChat dan Weibo serta saluran YouTube penganjur.

Syed Saddiq turut berterima kasih kepada penaja perlumbaan atas komitmen mereka yang menyaksikan Petronas sebagai penaja acara; Genting Malaysia Berhad dan MMC (penaja utama); KLCC dan Putrajaya Holdings (penaja rasmi) serta penaja lain seperti Volkswagen, Berjaya dan Bank Rakyat.

LTdL 2020 edisi ke-25 dijadualkan berlangsung esok sehingga 15 Feb ini dengan melibatkan jarak sejauh 1,114.9 kilometer yang merentasi lapan negeri serta dua Wilayah Persekutuan — Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.- BERNAMA