Home Nasional Polis masih tunggu keputusan ujian air kencing ADUN Dengkil

Polis masih tunggu keputusan ujian air kencing ADUN Dengkil

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bercakap pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah 16/2020 sempena Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Laporan keputusan ujian air kencing saringan kedua Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil yang ditahan kerana kes pengambilan dadah awal Januari lalu akan diterima tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, polis masih menunggu keputusan laporan itu daripada pakar patologi sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kes ADUN itu masih menunggu laporan (patologi).. saya rasa tak lama lagi (akan terima). Very soon kita akan dapat.. tunggu dan sabar ya semua,” katanya secara ringkas dalam sidang media kejayaan Op Selamat Tahun Baru Cina 2020 di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader berkata, polis masih menunggu ujian patologi berhubung sampel air kencing yang diperoleh dari tangkapan kes dadah di sebuah kondominium di Puchong pada 12 Januari lalu.

Mohd Khalil yang ditanya mengenai status kes Adhif Syan Abdullah yang merupakan antara individu yang ditangkap dalam kes itu berkata: “Kami masih menunggu laporan.

“Siasatan masih dijalankan. Kami masih menunggu laporan patologi. Kami akan mengambil tindakan sewajarnya selepas menerima laporan itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette