Home PTPTN PTPTN umum dividen SSPN 4%

PTPTN umum dividen SSPN 4%

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (dua kanan) diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Pengumuman Dividen SSPN 2019 dan Pelancaran Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2020 di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) pada kadar 4% untuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2019 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata, agihan dividen itu melibatkan peruntukan RM147.25 juta dan akan dinikmati lebih 4.39 juta pendeposit SSPN.

“Alhamdulillah dengan kesungguhan dan kecekapan pengurusan dan pegawai-pegawai menguruskan dana ini, PTPTN dapat memberikan kadar dividen SSPN berjumlah 4% walaupun dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan,” katanya sambil memberitahu dividen akan dikreditkan kepada pemegang akaun pada 8 Februari ini.

Menurut beliau, sehingga kini PTPTN telah mengagihkan sebanyak RM647.65 juta kepada pendepositnya sejak tahun 2014.

Beliau turut mengumumkan pertambahan keuntungan pelaburan  SSPN pada tahun lalu iaitu RM205.27 juta, jika dibandingkan RM163.54 juta pada tahun sebelumnya.

Selain itu Wan Saiful turut memaklumkan kutipan deposit SSPN bagi tahun lepas sebanyak RM1.37 bilion, tertinggi pernah dicapai oleh PTPTN sejak diwujudkan pada 2004.

“Pencapaian ini menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak RM240 juta peningkatan atau 21.24 peratus berbanding tahun 2018,  sekali gus menjadikan jumlah terkumpul deposit SSPN sehingga Disember tahun lalu RM5.87 bilion,” katanya ketika pengumuman Dividen PTPTN di sini.

Jumlah peningkatan yang ketara ini, katanya, merupakan petunjuk semakin ramai rakyat Malaysia mula sedar tentang kepentingan membuat perancangan kewangan untuk anak-anak.

“Ia berdasarkan sebanyak 455,952 akaun baharu telah dibuka pada tahun 2018,” tambahnya.

Untuk tahun ini, PTPTN mensasarkan RM1.5 bilion kutipan  deposit SSPN.

“Sasaran yang ditetapkan ini berasaskan kepada pencapaian positif SSPN tahun lalu dengan pelbagai langkah proaktif dalam pengoperasian dan pemasaran yang akan dilaksanakan oleh PTPTN sepanjang tahun 2020,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Wan Saiful turut melancarkan Ganjaran Kesetiaan sebanyak 1 peratus kepada pendepesoti SSPN-i yang membuka akaun sebelum tahun 2017.

Penerima ganjaran ini juga perlulah menambah simpanan mereka sepanjang tempoh promosi iaitu 5 Febuari hingga 30 April 2020.-MalaysiaGazette