DUBAI – Pihak berkuasa penerbangan awam akan terus bekerja sama dengan negara-negara lain yang menyiasat insiden pesawat penumpang Ukraine yang ditembak bulan lalu.
Sehubungan itu Tehran menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu tersebut.
Dalam insiden 8 Januari lalu, Pengawal Revolusi Tentera Iran menembak jatuh pesawat penumpang milik Ukraine menyebabkan 176 orang terbunuh.
Tehran mengaku bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan secara tidak sengaja.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Tehran melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Baghdad susulan tindakan Amerika Syarikat membunuh komander tentera Iran, Qassem Soleimani.
Isnin lalu, Tehran menyalahkan pihak berkuasa Ukraine kerana membocorkan bukti-bukti rahsia, justeru enggan lagi berkongsi bahan dengan siasatan dengan Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada hari Ahad lalu memaklumkan rakaman audio percakapan juruterbang dengan menara kawalan di Tehran menunjukkan Iran tahu ia telah menembak jatuh pesawat berkenaan.
Sebelum membuat pengakuan, Iran beberapa kali menafikan terlibat menembak jatuh pesawat berkenaan.
Organisasi Penerbangan Awam Iran dalam kenyataannya pada hari Selasa berkata, pihaknya tidak diberi apa-apa amaran tentang aktiviti peluru berpandu beberapa jam sebelum kapal terbang Ukraine ditembak jatuh.
Tambahnya, ia akan terus menyiasat kemalangan itu dan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat dalam kemalangan seperti sebelum ini. – MalaysiaGazette