Orang Melayu terkenal dengan budi bahasa, sikap suka menolong orang tanpa mengenal bangsa, bertolak ansur dan berbagai lagi nilai murni.
Orang Melayu sanggup berkongsi apa sahaja dengan mereka yang disenanginya. Hebat orang Melayu bukan pada hartanya tetapi pada baik budinya.
Orang Cina, India dan siapa juga dianggap oleh orang Melayu sebagai saudara walau berbeza agama.
Kedatangan mereka ke Tanh Melayu dahulu tanpa apa-apa melainkan harapan.
Namun, atas sebab sejahteranya bumi Melayu ini dan baiknya hati orang Melayu itu, mereka hari ini ramai yang hidup mewah dan berjaya.
Ingatlah sejarah bagaimana bersungguh-sungguhnya Tunku Abdul Rahman ketika meyakinkan kita semua bahawa kita semua adalah saudara.
Maka tanpa banyak bicara, apa yang ada, orang Melayu tidak berkira untuk berkongsi sama dengan yang lain.
Tanah yang ada dipajak atas nama membantu mereka yang tiada apa.
Dari pajak tahun bertukar kepada dekad. Dari pajak juga tanah itu dijual kepada sahabat kerana rayuannya dan rasa kasihannya kepada sahabatnya itu.
Orang Melayu sifatnya mulia, kalau orang baik kepada dia, dia akan lebih baik kepada orang itu.
Malangnya Budi Baik Dinilai Tiada
Tahun demi tahun dan dekad demi dekad berlalu dengan harmoni berakhir dengan mimpi ngeri.
Dahulu orang Melayu sahabat kini kuli. Dahulu diberi hormat, kini dihambat. Dahulu dipuji kini dikeji.
Maka kini sedarlah orang Melayu bahawa hormat itu apabila ada, bila tiada apa, hinaan menjadi perkara biasa.
Bila bekerja di kilang, gaji diberi berbeza-beza, bila berniaga di tepi jalan dihambat penguasa, bila berniaga di kedai ditindas oleh pembekal dan berbagai lagi cerita aniaya.
Itulah nasib Melayu yang baik budi itu. Namun mengeluhpun tiada guna kerana bila tiada apa memang begitulah fitrahnya.
Kebangkitan Melayu dan Islam
Orang Melayu perlu berubah. Cukup-cukuplah membiarkan muka kita diludah, disumpah dan diseranah.
Bangkitlah menjadi bangsa bermaruah. Jadikan agama panduan hidup dalam mengatur langkah. Amalkan Islam wassatiyah sebagai panduan baik dalam hidup mahupun ibadah.
Jangan jadikan faham kita tentang Islam punca kita berpecah belah.
Pemimpin Melayu dan Islam
Jujurlah kalian dalam membela nasib agama, bangsa dan negara kita. Jangan kalian gadai tanah pusaka ini kerana kelam mata akan sogokan menggila dari mereka.
Berbaik-baiklah kalian di antara satu sama lain. Belalah bangsa, belalah agama dengan cermat lagi bijaksana. Pasti harum nama kalian di hati anak bangsa.
Sudah-sudahlah dengan kelaku menjengkelkan baik di sidang parlimen mahupun DUN dan juga pentas ceramah baik di bandar mahupun desa.
Jadilah pemimpin Melayu yang berwawasan, bijaksana, kuat berkerja dan berintegriti terpuji dalam menyantuni orang Melayu dan rakyat semua.
Kalian boleh jadi punca untuk Melayu bermaruah semula dan boleh juga menjadikan Melayu lebih hina.
Ingatlah, kalian diangkat oleh rakyat khususnya umat Melayu untuk membela mereka, bukan menjadi penjilat tegar taukeh-taukeh kaya.
Pendidik Melayu
Guru dan pensyarah adalah pemangkin utama kebangkitan bangsa dan agama. Janganlah leka dan berputus asa dalam mendidik anak bangsa.
Jangan rasa diri sempurna selagi ada anak bangsa kita yang masih tercicir dan terpinggir kerana kurang ilmu di dada.
Jadikan sekolah tempat anak bangsa kita benar- benar faham apa itu ilmu, iman dan amal.
Usahakan sehabis daya kalian dengan penuh kesungguhan dan keinsafan dalam mempersiapkan mereka kerana mereka adalah masa depan kita.
Begitu juga para pensyarah universiti dan IPT lain. Jangan kalian alpa untuk membina jiwa, jati diri, ketajaman fikir dan seumpamanya buat semua anak bangsa kita.
Kecerdasan, iman dan amal mereka adalah senjata utama bangsa kita dalam mendepani sesiapa juga.
Teknokrat & Birokrat Melayu
Jadilah Melayu yang ada rasa kasih pada bangsanya sendiri. Ramai kalian bermula dari tiada apa-apa.
Gunakanlah kedudukan kalian untuk membantu Melayu lain yang berpotensi untuk berjaya, dan yang lemah kembali berdaya.
Jangan minta, terima mahupun beri rasuah. Jangan gadai maruah. Melayu jadi bangsat apabila cerdik pandai Melayu iaitu teknokrat dan birokrat boleh dibeli ikut pangkat.
Begitu juga kepada Melayu yang jadi penguatkuasa. Jangan jadi alat pemusnah utama akan maruah bangsa dan negara.
Hampir 100 peratus pasukan penguatkuasaan baik di peringkat negara, negeri mahupun tempatan dianggotai oleh orang Melayu. Malangnya masih banyak bocor di mana-mana.
Sedarlah dan bertaubatlah segera jika ada antara kalian menjadi penghkhianat bangsa, agama dan negara dengan mengambil rasuah.
Kalian yang ambil rasuah benar-benar telah menghumbankan nama baik Melayu dan Islam ke dasar paling hina.
Orang Melayu
Sedarlah yang kita tidak akan dihormati oleh orang lain. Usah bicara ketuanan Melayu kalau kita tidak punya apa-apa.
Untuk itu seluruh bangsa kita kena berubah dan berikut antara yang perlu kita usahakan bersama.
Pertama, pilihlah pemimpin yang jujur dan ikhlas berkerja untuk rakyat iaitu sanggup menjadi hamba rakyat. Jangan beri ruang dan peluang kepada mereka yang menggunakan politik untuk meraih kekayaan peribadi dan kroni.
Kedua, pendidik Melayu perlu menjadi pemangkin kesedaran kepada umat Melayu tentang apa yang sedang dihadapi oleh orang Melayu hari ini dan di masa hadapan.
Ketiga, semua orang Melayu perlu berfikir dan berusaha habis-habisan untuk menjadi lebih pandai dan bijak dari bangsa lain.
Keempat, jangan biarkan sekolah kebangsaan dan universiti awam yang majoritinya tempat orang Melayu menerima pendidikan menjadi tempat kelas kedua buat rakyat Malaysia menimba ilmu. Dengan kata lain, guru dan pensyarah perlu lihat diri mereka umpama pahlawan di medan perang dalam memastikan sekolah dan universiti mereka menjadi yang terbaik.
Kelima, semua institusi seperti sekolah, universiti dan lain-lain institusi perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar layak. Bebaskan institusi dan agensi dari politik. Jangan lantik pemimpin institusi atas kepentingan politik. Lantik mereka atas ketajaman akal, kesungguhan bekerja dan integriti terpuji sejajar dengan usaha melahirkan anak bangsa berkualiti dan berakhlak terpuji dalam membina negara ini.
Kesimpulan
Ingatlah wahai orang Melayu bahawasanya bangsa lain itu hatta dunia amnya akan menghormati kita orang Melayu apabila kita lebih bijak, lebih rajin, lebih kaya, lebih berintegriti dan sebagainya dari mereka.
Selagi kita tidak lebih baik dari mereka, kita tidak akan mereka hormati dan ketuanan Melayu itu akan menjadi retorik terhebat pemimpin dan orang Melayu.
Bangun dan bangkitlah bangsaku. Kitalah yang menentukan nasib dan maruh bangsa kita. – MalaysiaGazette