Home Ekonomi NCIA rangka Program Pekebun Kecil Perusahaan Getah

NCIA rangka Program Pekebun Kecil Perusahaan Getah

KUALA NERANG – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah merangka Program Pekebun Kecil Perusahaan Getah bagi memperkasa dan meningkatkan produktiviti pekebun kecil getah di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata program rintis itu adalah antara usaha untuk meningkatkan penghasilan lateks serta menambah pendapatan penoreh dan pekebun kecil di wilayah itu.

Beliau berkata fasa pertama program yang menjadi model rintis yang mampan itu akan membabitkan 150 peserta yang telah dikenal pasti di mana mereka akan diberikan insentif khusus untuk pengeluaran lateks.

“Dengan pengeluaran lateks ini, pendapatan mereka akan meningkat sehingga 30 peratus,” katanya pada sidang media sempena lawatan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir ke tapak projek Kedah Rubber City (KRC) di Ladang Bukit Ketapang dekat sini, hari ini.

Jebasingam berkata beliau optimis bahawa penghasilan lateks dalam negara juga dapat ditingkatkan melalui program itu sekali gus berupaya memenuhi permintaan lateks bagi KRC dan mengurangkan kebergantungan lateks dari luar negara.

Terdahulu, Mukhriz mengadakan lawatan ke tapak projek KRC yang dibangunkan bersama NCIA dan disokong kerajaan negeri Kedah.

KRC terletak di kawasan seluas kira-kira 505.85 hektar dan merupakan projek strategik berimpak tinggi yang dirancang sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi khususnya di sekitar kawasan Padang Terap dan Kedah secara keseluruhan.- BERNAMA