KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) hari ini menempelak kenyataan Datuk Salahudin Ayub yang didakwa menyemai kebencian dalam kalangan ahli Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah, suasana politik hari ini yang menyaksikan kemunculan Muafakat Nasional diterima secara positif dan kenyataan itu jelas mahu melaga-lagakan dua parti terbesar Melayu di negara ini.
“Buktinya pimpinan Amanah sengaja mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahat bagi menimbulkan persepsi negatif untuk mewujudkan prasangka buruk dan sifat alergik dalam kalangan ahli Pas dengan UMNO antara satu sama lain supaya penyatuan ummah ini gagal.
“Kenyataan terbaru daripada Salahudin yang memainkan semula isu Amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan pemikiran lapuk yang sudah kehabisan modal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwa beliau lagi, jika Amanah mendapat diri mereka memperjuangkan Islam, mengapa para pemimpin mereka menuruti agenda cauvanis yang dibawa oleh DAP.
“Amanah kini dilihat jelas oleh masyarakat menjadi “benteng” kepada DAP apabila pimpinannya sering mengeluarkan kenyataan demi mempertahankan isu yang dicetuskan oleh DAP seperti kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu terhadap isu ugutan Nga Kor Ming mengenai UEC,” bidas beliau lagi.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah semalam menyuarakan rasa tidak percaya dengan hakikat bahawa parti Pas kini boleh berbaik dengan UMNO dan menjalinkan kerjasama rapat.
Beliau berkata ia sangat berbeza dahulu apabila rasa kebencian terhadap UMNO sudah dipasakkan dalam “akidah” dan jiwa anggota parti itu oleh kepimpinan tertinggi Pas.
UMNO dan Pas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 September tahun lalu.
Ia adalah bentuk ta’awun iaitu kerjasama politik antara kedua-dua parti. – MalaysiaGazette