Home Nasional SPRM jawab tuduhan ADUN Bukit Gasing

SPRM jawab tuduhan ADUN Bukit Gasing

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seperti yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran sedang dijalankan mengikut prosedur-prosedur siasatan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Alias Salim menegaskan, tiada apa-apa penangguhan daripada badan tersebut berkenaan kes itu.

Jelasnya, SPRM telah pun membalas kenyataan Rajiv secara bertulis sejak 4 Disember tahun lepas dan seterusnya pada 20 Januari lalu bagi menjawab persoalan beliau berkenaan status kes berkenaan.

“Kami telah memaklumkan kepada beliau bahawa siasatan masih sedang dijalankan. Persoalan-persoalan beliau tidak dibiarkan tidak berjawab.

“Aduan pertama telah diterima pada 5 Ogos 2019 dan sedang disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

“Aduan tersebut adalah berkenaan dakwaan bahawa terdapat konflik berkepentingan dalam penganugerahan sub kontrak.

“Saya boleh mengesahkan bahawa siasatan tersebut masih sedang dijalankan dan masih lagi diteruskan mengikut prosedur-prosedur siasatan.

“Tidak terdapat apa-apa penangguhan dari pihak SPRM berkenaan kes ini.

“Kami tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat spesifik kerana ia akan memprejudiskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Setelah siasatan diselesaikan kami akan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, wakil rakyat DAP itu dalam satu sidang media di pejabatnya mendakwa tiada tindakan diambil SPRM berhubung kes tersebut meskipun sudah enam bulan laporan dibuat.

Rajiv berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada SPRM sebanyak dua kali bagi mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan salah laku itu.

Sebaliknya, hanya menerima surat pemakluman dari SPRM yang menyatakan kes tersebut masih disiasat.

Malah beliau turut mendakwa telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya secara peribadi bagi mendapatkan perkembangan terkini bagaimanapun tidak mendapat sebarang balasa. – MalaysiaGazette

 

+ posts