KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sebak sebaik sahaja beliau menyentuh nasib rakyat Palestin yang terus ditindas dan terbaru dalam perjanjian damai antara Isreal dan Palestin atau dikenali sebagai ‘Deal of Century’.
Beliau berkata, walaupun rakyat Malaysia tidak ada kemampuan untuk menyekat usaha Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat, namun beliau percaya doa orang teraniaya akan termakbul.
“Kami ingat kamu boleh buat apa saja, kami setiap kali solat kami tidak pernah lupa. Kasih dan sayang kali setiap kali solat Subuh, setiap solat, kami baca Qunut Nazilah.
“Kita beri amaran, kamu boleh buat apa saja, tapi doa kami, doa saudara-saudara kami yang dizalimi, Allah SWT tidak akan menyekat doa tersebut, ia akan dibalas di dunia,” katanya berucap pada Demonstrasi Aman Bantahan Deal of Century di hadapan Kedutaan AS, di Jalan Tun Razak, hari ini.
Idris juga menyifatkan perjanjian yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada Selalu lalu sebagai lebih teruk daripada perjanjian-perjanjian yang dibuat negara veto itu sebelum ini.
“Ini perjanjian yang paling teruk sekali, sebelum ini kita tengok perjanjian yang pernah dibuat seperti Perjanjian Oslo, Madrid dan sebagainya.
“Tetapi ini perjanjian yang paling berat, seolah-olah negara Palestin tidak wujud di atas muka bumi ini,” tegasnya.
Berang dengan sikap biadap Trump, Idris tidak menolak kemungkinan tindakan Trump memperkenalkan perjanjian damai itu hanya mengundang malapetaka kepada kuasa dunia itu.
“Kamu jangan gembira dengan perjanjian yang kamu anggap ini perjanjian baik, tetapi perjanjian ini merupakan perjanjian yang akan menjerumuskan kamu ke neraka jahanam dunia lebih awal Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette