KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan perjanjian damai antara Isreal dan Palestin atau Deal of Century sebagai satu perjanjian sampah.
Shahril menegaskan, mana mungkin dikatakan perjanjian damai sedangkan tempat ketiga paling suci dalam Islam iaitu Baitul Maqdis telah dirampas daripada Palestin.
“Hari ini muncul kemuncak penindasan tersebut dengan satu perjanjian iaitu Deal of Century.
“Ini bukan Deal of Century, ini perjanjian sampah, kenapa sampah, kerana dia ambil Baitul Maqdis sekarang dia bawa konglomerat mereka pula, dia nak ambil nak kuasai keselamatan, pihak polis Isreal yang jaga, Palestin tiada hak, kita setuju atau tidak?
“Ini adalah deal yang cukup pelik, ini perjanjian untuk mendamaikan Palestin dan Israel, tetapi yang berunding ialah Israel dengan Amerika, rakyat dan pemimpin Palestin semua tidak dirunding lagi,” katanya pada himpunan aman bantah Deal of Century di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula menegaskan, himpunan membantah Deal of Century itu dilakukan Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO bukan kerana mereka adalah Yahudi.
“Kita menentang orang-orang Yahudi bukan kerana nama mereka adalah Yahudi, kita menentang mereka kerana perangai mereka yang jahat, kerana mereka zalim, kerana mereka menindas umat Islam Palestin.
“Ini kerana mereka mempergunakan kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika untuk kepentingan mereka, kerana mereka melakukan pelbagai penindasan, merampas hak umat Islam di Palestin, itu kerana kita menentang mereka.
“Kita menentang mereka bukan kerana nama mereka adalah Yahudi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette