Home Ekonomi IPI naik 1.3%, perlombongan susut 4.5%

IPI naik 1.3%, perlombongan susut 4.5%

kilang sarung tangan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 1.3 peratus pada bulan Disember 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pada bulan Disember 2019 dipacu oleh peningkatan dalam indeks pembuatan (3.4%) dan indeks elektrik (0.9%) manakala indeks perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 4.9 peratus.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan pertumbuhan tahun ke tahun, output sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.4 peratus pada bulan Disember 2019 selepas mencatatkan kenaikan 2.7 peratus pada bulan November 2019.

Subsektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Disember 2019 adalah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.6%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.6%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (3.1%).

Output sektor perlombongan jatuh sebanyak 4.9 peratus pada bulan Disember 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, kejatuhan itu disebabkan oleh penurunan dalam kedua-dua indeks di bawah sektor perlombongan iaitu indeks minyak mentah dan kondensat (-6.6%) dan indeks Gas Asli (-3.4%).

Sementara, output sektor elektrik meningkat sebanyak 0.9 peratus pada bulan Disember 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

IPP bagi tahun 2019 merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, masing-masing sebanyak 3.6 peratus dan 3.3 peratus.

Sektor Perlombongan menyusut sebanyak 1.7 peratus. – MalaysiaGazette