Home Utama “Kalau saya biarkan dia, orang akan panggil Ayob pengganas pula” – KPN

“Kalau saya biarkan dia, orang akan panggil Ayob pengganas pula” – KPN

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Komisioner Polis, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) berjabat tangan bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ramli Haji Din (dua kiri) selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kiri) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Pertukaran Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Ketua Polis Johor adalah kerana pihak berkuasa itu mahu memberi laluan kepadanya untuk memimpin pasukan di bawahnya.

Itu reaksi Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditanya tentang pertukaran Ayob untuk memimpin pasukan di peringkat negeri berkuatkuasa 6 Mac ini sebagaimana yang dimaklumkan Unit Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Ketua Polis Negara (KPN) berkata, Ayob telah melakukan banyak kerja sepanjang khidmatnya dengan PDRM dan disebabkan itu ia wajar untuk ditukar memandangkan usianya masih muda.

“Dan pertukaran secara kebetulan pula adalah pertukaran besar-besar berhubung persaraan dibuat tentang siapa yang akan menjadi CPO (Ketua Polis) di bawah.

“Bagi Ayob pula, dia sudah terlalu lama, kalau saya biarkan dia lagi sebulan dua, orang akan panggil Ayob pengganas pula, sebab itu je kerja dia,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pertukaran Ayob mempunyai kaitan dengan insiden serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman oleh sekumpulan gangster di Johor Bahru baru-baru ini, Abdul Hamid menjelaskan, sukar baginya untuk menjawab pertanyaan itu.

Katanya, terpulang kepada individu untuk menilai perkara itu namun Ketua Polis Johor sebelum ini, Datuk Mohd Kamarudin Md Din mempunyai kepakaran dalam menangani jenayah siber dan khidmat beliau sangat diperlukan.

Katanya lagi, Kamaruddin merupakan perintis dalam kumpulan berkenaan dan pertukaran Ayob adalah kerana mahu memberi peluang kepadanya.

Dalam satu kenyataan semalam, PDRM memaklmukan Kamarudin ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad, berkata pelantikan dan pertukaran itu berkuatkuasa 6 Mac depan.

Selaras pelantikan itu, Ayob Khan yang kini berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) akan dinaikkan pangkat pemangku Komisioner Polis (CP).

Pada majlis berkenaan Komisionar, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menyerahkan tugasnya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kepada Komisioner Datuk Ramli Din ekoran persaraan beliau pada 9 Februari ini. – MalaysiaGazette

Ayob Khan naik pangkat jadi CPO Johor

1 Komen

Comments are closed.