Home Seni Hidup Pelancongan sukan produk terbaharu Taiping

Pelancongan sukan produk terbaharu Taiping

Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan MPT, Hanim Ramly.

TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berhasrat untuk meneroka satu lagi produk pelancongan iaitu pelancongan sukan sebagai salah satu  usaha untuk menambah bilangan pengunjung di daerah tersebut.

Menurut Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan MPT, Hanim Ramly, Taiping yang sudah lama terkenal sebagai sebuah bandar yang kaya dengan warisan sejarah dan keindahan semula jadi itu turut mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Ini membuatkan banyak syarikat penganjuran sukan seperti acara larian memilih Taiping bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peserta yang selama ini banyak tertumpu kepada acara-acara di dalam bandar.

“Saya tengok kecenderungan penganjur memilih Taiping kerana ia popular dari banyak segi seperti harga makanan yang murah, pilihan menu yang pelbagai, harga hotel dan tempat tinggal juga munasabah.

“Malah jarak dari satu tempat ke satu tempat itu juga dekat.

“Lagi satu apabila peserta menyertai acara sukan di Taiping seperti larian atau berbasikal mereka mesti melalui tempat-tempat menarik di sekitar bandar ini seperti Taman Tasik, kaki Bukit Larut dan sebagainya jadi mereka dapat bersukan sambil menikmati keindahan alam,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Tambah Hanim, trend tersebut semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan MPT cuba untuk menambah baik kemudahan serta memberi lebih banyak bantuan kepada para penganjur yang berhasrat mengadakan acara di bandar tersebut.

“Dulu semasa saya bertugas untuk membuat kalendar acara, sukar sekali untuk melihat ada acara sukan dianjurkan di Taiping, boleh dikatakan tiga bulan sekali pun susah kita hendak nampak tetapi sejak kebelakangan ini penganjuran dan penyertaan sungguh mengagumkan.

“Meskipun tidaklah sebesar acara Marathon Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang tetapi pada saya, ini adalah suatu permulaan yang baik.

“Setakat ini, kalendar acara yang telah disahkan ada kira-kira 15 acara larian dan berbasikal.

“Kadang-kadang ada dua acara sebulan dan ini bukan semuanya acara yang dianjurkan oleh MPT sebaliknya kita mengadakan usahasama dengan pihak penganjur swasta kerana mereka perlu gunakan kawasan taman tasik atau zoo jadi mereka perlu libatkan kami secara tidak langsung dalam penganjuran itu,” katanya lagi.

Tambah Hanim, antara acara sukan yang telah menjadi acara tetap di Taiping sejak tiga tahun lepas adalah TRR Spin Run dan Larian Tahunan Columbia Asia.

Selain itu, acara Projek Mendaki Bukit Larut juga mendapat sambutan hangat yang mana pada tahun pertama penganjurannya pada 2018, hanya disertai 400 orang sahaja

Bagaimanapun, angka tersebut melonjak ke lebih 1,000 peserta tahun lepas dan dijangka terus meningkat pada tahun ini.

Menurut Hanim, dengan perkembangan tersebut, beliau mengharapkan Taiping terus dikenali sebagai lokasi penganjuran acara sukan yang lebih besar pada masa hadapan.- MalaysiaGazette