
KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membuat kenyataan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi offset.
Sebaliknya, menurut PMO dalam kenyataan, Dr Mahathir berkata, bagi kerajaan, meminta offset adalah prosedur biasa dalam pembelian berharga tinggi namun tidak mengaitkan perkara tersebut dengan AirAsia.
Katanya, jawapan Dr. Mahathir yang dilaporkan media semalam adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar Perdana Menteri.
“Beliau tidak pernah menyatakan AirAsia mendapat manfaat daripada prosedur ini.
“Perdana Menteri menambah jika wang disalurkan kepada individu maka ia adalah rasuah. Jika bukan untuk kepentingan peribadi, maka beliau berpandangan ia bukanlah rasuah.
“Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan samada ia adalah rasuah ataupun tidak.
“Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar Perdana Menteri.
“Pejabat Perdana Menteri ingin menasihati pihak media supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab kerana berita yang tidak tepat akan menimbulkan kesan yang tidak baik ke atas pemahaman orang ramai mengenai sesuatu isu,” kata kenyataan tersebut.
[VIDEO]Tak salah minta ‘off set’ dalam urusniaga, kecuali masuk kocek sendiri – PM
Semalam, ketika diminta mengulas mengenai pertuduhan rasuah oleh syarikat pembuat pesawat Eropah, Airbus SE dengan AirAsia dan AirAsia X, Perdana Menteri berkata, sebarang unsur offset atau timbal balas dalam sebarang urusniaga adalah amalan biasa dan ia tidak bererti melakukan kesalahan serius.
Tambahnya, beliau berpandangan bahawa sebarang urusniaga yang melibatkan ‘timbal balas’ dalam bentuk wang yang dimasukkan dalam poket sendiri boleh dianggap rasuah dan ia adalah kesalahan serius.-MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
Tak salah minta ‘off set’ dalam urusniaga, kecuali masuk kocek sendiri