Home Nasional Koronavirus tidak halang sambutan Thaipusam

Koronavirus tidak halang sambutan Thaipusam

Upacara Thaipusam pada tahun ini di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan, Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sambutan Thaipusam yang sudah masuk tahun ke-234 hari di kuil Sri Subramaniyar Swamy Batu Caves tetap meriah dan berwarna-warni dengan para penganut melaksanakan amalan membayar nazar kepada Dewa Muruga.

Malah mimpi ngeri jangkitan 2019 Novel Koronavirus yang mula melanda seluruh dunia termasuk Malaysia masih tidak menjadi satu halangan kepada salah satu perayaan penting masyarakat Hindu di negara ini.

Pengamatan MalaysiaGazette sejak lewat malam tadi sehingga pagi ini menunjukkan kehadiran orang ramai khasnya penganut Hindu, masyarakat tempatan serta warga pelancong meskipun tidak seperti tahun-tahun sebelum ini namun sambutan tetap lagi meriah.

Sekurang-kurangnya ada 150,000 sehingga 250,000 membanjiri kuil Batu Caves sejak pagi tadi dan jumlahnya bertambah secara berdikit-dikit.

Rata-rata penganut serta pelancong datang secara berperingkat sejak beberapa hari lepas khasnya yang mahu membayar nazar dengan membawa belanga susu atau kavadi dan lain-lain amalan kerana mahu mengelakkan diri daripada pertembungan dengan orang ramai.

Ketika MalaysiaGazette sempat bercakap dengan Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Tan Sri R Nadarajah, beliau berkata, sejak bermula bulan ‘Thai’ pada 15 Januari lepas sehingga hari ini, sudah hampir 1.6 juta pengunjung mengunjungi kuil Batu Caves.

Tan Sri N Nadarajah

Jelas beliau tadi, walaupun jangkitan virus merupakan antara kebimbangan umum pada hakikatnya kepada masyarakat Hindu pula, nazar itu perlu diteruskan tidak kira apa sekalipun menyebabkan rata-rata hadir secara berperingkat.

“Di negara kita, koronavirus ini sedang ditangani dengan begitu profesional oleh semua pihak berkepentingan, malah mendapat pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Jadi umum tidak begitu khuatir terutamanya penganut yang mahu melaksanakan nazar mereka kepada Dewa Muruga.

“Dua hari lepas ketika perarakan pendati Perak dari Kuil Sri Mahamariamman Jln Tun HS Lee berarak dari pukul 10 malam dengan membawa Dewa Muruga beserta isterinya Dewi Valli, Devi Theivanai dan tiba pada hari seterusnya sekitar jam 5 petang, sekurang-kurangnya hampir 150,000 telah menyertai perarakan tanpa sebarang masalah.

“Ada yang berjalan dulu, ada yang ikut belakang pendati. Sepanjang jalan sehingga ke bulatan Batu Caves, masyarakat umum sudah menanti untuk menyembah Dewa Muruga dari atas pendati selain daripada menyediakan ‘thanner phantal’ yang memberikan makan minum percuma.

“Selain daripada itu, sejak bermulanya bulan Thai pada Ponggal Januari lepas, sememangnya masyarakat umum termasuk penganut Hindu telah menggunakan cuti-cuti hujung minggu seperti Sabtu dan Ahad untuk melaksanakan amalan membawa belanga susu serta kavadi.

“Ada juga cuti umum seperti ketika sambutan Hari Tahun Baharu Cina dan juga Hari Wilayah. Rata-rata pengunjung serta pelancong memanfaatkan hari-hari itu untuk bersembahyang serta lakukan ritual,” katanya sebentar tadi.

Beberapa jalan ke Batu Caves juga telah ditutup dan polis hanya membenarkan kenderaan diletakkan di lorong pertama MRR2 sepanjang 1.5 kilometer berhampiran Batu Caves kepada orang ramai.

Sebelum ini wujud berita palsu yang tular di media sosial kononnya sambutan Thaipusam di Batu Caves pada 8 Februari ini ditangguh bagi mengelak penyebaran virus novel koronavirus.

Thaipusam bukan sahaja disambut di Kuala Lumpur tetapi turut disambut secara besar-besaran di kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Pulau Pinang, kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan juga di Johor.

Seorang penganut Hindu melakukan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 07 FEBRUARI 2020.

Sambutan keagamaan  yang disambut oleh komuniti India pada bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, kebanyakannya di negara-negara yang mempunyai komuniti Tamil yang besar.

Antaranya seperti India, Sri Lanka, Malaysia, Mauritius, Singapura, Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Myanmar, Trinidad and Tobago, Guyana, Suriname, Jamaica, dan bahagian tertentu di Caribbean.

Sebenarnya istilah Thaipusam berasal dari gabungan dua perkataan iaitu bulan ‘Thai’ dan nama bintang ‘Pusam’ yang dikatakan sinar menyinar terang ketika sambutan ini.

Bagi kepercayaan penganut Hindu, perayaan ini untuk meraikan peristiwa ibu kepada dewa Murugan menyerahkan lembing kepadanya untuk menghapuskan kejahatan, dan ia juga dipercayai hari ulang tahun kelahiran dewa Murugan. –MalaysiaGazette