KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional (Khazanah) menyifatkan laporan yang diterbitkan Focus Malaysia telah menjejaskan sebarang usaha korporat membabitkan Malaysia Airlines Berhad.
Malah, laporan itu juga dianggap telah melemahkan keyakinan terhadap integriti Khazanah sebagai rakan korporat profesional dan menjejaskan reputasinya yang pada akhirnya menjejaskan kemampuannya untuk melakukan urus niaga pada masa hadapan.
“(Laporan) ini telah menjejaskan potensi Malaysia Airlines untuk mencapai pertumbuhan dan keuntungan mapan,” tegas Khazanah dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Khazanah telah meminta Focus Malaysia untuk berhenti menyiarkan apa-apa maklumat mengenai tindakan korporat yang pada kebiasaannya adalah rahsia.
Portal Focus Malaysia dua minggu lalu menyiarkan cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines oleh Kumpulan AirAsia.
Cadangan yang didakwa bernilai RM8 bilion itu memperincikan tujuh perkara termasuk penubuhan sebuah syarikat gabungan yang akan diapungkan di Bursa Malaysia.
Ia juga mendakwa Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menerima baik cadangan tersebut tetapi tidak dipersetujui lembaga pengarah syarikat. – MalaysiaGazette