Home Utama Pas bawa usul percaya kepada PM Mac ini

Pas bawa usul percaya kepada PM Mac ini

Datuk Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) akan membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Parlimen yang akan bermula pada Mac ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bertujuan untuk meredakan keadaan susulan banyak khabar angin yang ditimbulkan oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri.

“Mesyuarat telah memutuskan bahawa ahli Parlimen Pas akan membawa satu usul percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen, dalam persidangan akan datang. MP Pas akan bawa, sokongan itu kita akan tengok di Parlimen.

“Kita digembar-gembur dengan rasa tidak puas hati kepada PM, tetapi tiada usul undi tidak percaya, sepatutnya mereka yang tak puas hati itu bawa usul tidak percaya,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat Pas Pusat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga menegaskan, usul ahli Parlimen Pas itu bukan satu bentuk usul balas terhadap dakwaan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri meskipun ia hangat diperkatakan sejak lebih setahun lalu.

“Ia bukan usul balas kepada undi tidak percaya. Bila usul undi tidak percaya tiada, kita bawa usul percaya.

“Kalau selepas ini ada usul tidak percaya mungkin kita akan tarik balik usul percaya itu, kita menolak usul tidak percaya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usul percaya yang dibawa Pas itu juga bertujuan untuk memastikan kestabilan pentadbiran negara dan memulihkan kembali ekonomi.

“Kemelut yang berlaku terhadap Perdana Menteri ini telah mengganggu kestabilan politik, ekonomi dan sebagainya.

“Bagi kita ada satu keperluan pada masa ini untuk Perdana Menteri meneruskan kepimpinannya sehingga tamat penggal.

“Tetapi kemelut itu tak sudah-sudah, berjalan bertahun-tahun, dan kita lihat ia mengganggu perjalanan, maka usul ini sangat perlu dibincang supaya kita boleh tengok sejauhmana Perdana Menteri dapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Ditanya tentang sokongan rakan sekutunya terhadap usul percaya itu, Takiyuddin tidak menolak kemungkinan ia boleh diterima sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita akan maklum kepada ahli Parlimen BN kemudian, bila kita nak buat kiat kena berpakat dengan BN.

“Kita percaya BN akan setuju (usul percaya),” katanya lagi. – MalaysiaGazette