Home Utama PPSMI? Ini pandangan Profesor Matematik

PPSMI? Ini pandangan Profesor Matematik

Prof. Dr. Zuhaimy Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menerima hakikat bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan mulai 2012 adalah satu kegagalan yang tidak harus diulangi semula.

Pelaksanaan PPSMI pada tahun 2009 telah membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan gagal menjadikan ia sebagai ‘subject matter’ (perkara pokok), selain ia gagal membantu para pelajar luar bandar menguasai subjek matematik dan sains.

Malah, banyak kajian yang dijalankan oleh universiti-universiti awam mendapati PPSMI langsung tidak membantu aspek minat para pelajar untuk menguasai matematik dan sains.

Kajian juga mendapati PPSMI lebih sesuai untuk para pelajar dalam kalangan ‘elit’ berbanding golongan biasa,

Lantaran itu, Profesor Fakulti Sains di Jabatan Sains Matematik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr Zuhaimy Ismail berkata, kerajaan tidak wajar mengulangi satu sistem yang telah terbukti gagal.

Sebaliknya, kerajaan perlu terus memperkasakan Dual Language Programme (DLP) atau Program Dua Bahasa  untuk matematik dan sains yang sedang dilaksanakan sekarang kerana itu adalah pilihan rakyat.

Berpengalaman mengajar selama 36 tahun, Dr Zuhaimy berkata, para pelajar tempatan sebenarnya lebih selesa belajar menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Lagipun, bahasa Inggeris boleh diterjemahkan dengan mudah, sekali gus isu penguasaan ilmu matematik dan sains dalam bahasa itu sama sekali tidak timbul.

“Meskipun banyak buku-buku ilmiah sains dan matematik adalah buku dalam bahasa Inggeris tetapi ia boleh diterjemahkan dengan terminalogi yang betul.

“Pengolahan terminologi (istilah) yang baik dan jelas akan menjadikan pemahaman pelajar lebih mantap hingga menguasai ilmu kedua-dua subjek itu dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, situasi ini sama sahaja dengan bangsa-bangsa lain di dunia dalam usaha menguasai ilmu matematik dan sains kerana bukan semua individu boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Contoh klasik adalah Jepun yang berbangga dengan bahasa pengantarnya tetapi mereka berjaya dalam ilmu sains dan teknologi.

Walaupun begitu, Dr Zuhaimy berkata, pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris boleh dilaksanakan dalam subjek lain seperti geografi atau sejarah dalam usaha meningkatkan kefahaman, kemahiran dan penguasan bahasa tersebut.

Tetapi bukan matematik dan sains kerana kedua-dua subjek itu sukar dan memerlukan kefahaman yang baik untuk menguasainya.

“Kalau diajar dalam bahasa yang sukar difahami bagaimana kita mahu meningkatkan minat para pelajar dalam matematik dan sains.

“Kita tidak mahu apabila PPSMI sekali lagi diperkenalkan, ia akan gagal lagi. Yang rugi dan ketinggalan nanti adalah orang Melayu terutama para pelajar di luar bandar yang tidak menguasai bahasa tersebut,” tegasnya.

Selain itu, Dr Zuhaimy menambah, guru-guru sains dan matematik di negara ini juga masih tidak berada dalam keadaan sedia untuk mengajar subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.

Dedah beliau, guru-guru di beberapa sekolah di Melaka didapati  tidak mampu menerangkan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Ada dalam kalangan mereka silap faham dalam terminologi. Jadi bagaimana hendak mengajar kalau cikgu-cikgu pun tidak bersedia?.

“Kalau PPSMI diteruskan siapa rugi, sudah tentu anak cucu kita nanti,” kata Dr Zuhaimy yang berpendapat pengenalan sesuatu dasar tidak boleh bergantung kepada minat tertentu tetapi memerlukan penilaian dan penelitian secara keseluruhan demi masa depan generasi akan datang. – MalaysiaGazette