KUALA LUMPUR – Mungkin ramai tidak tahu mengenai penulis kesusasteraan Tamil tempatan yang hebat dengan penghayatan mendalam dalam penulisannya.
Walaupun tidak popular di negara sendiri, karya yang dihasilkannya digunakan di institusi awam dan swasta di India.
Berikutan itu, Rajendran Perumal dipilih sebagai penerima Anugerah Kesusasteraan Tamil 2019 daripada kerajaan Tamil Nadu.
Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah tersebut
Anugerah kesusasteraan tertinggi kerajaan Tamil Nadu itu diberikan atas sumbangan dan sokongan berterusan Rajendran dalam pembangunan kesusasteraan dan bahasa Tamil secara keseluruhan.
Antara usaha Rajendran ialah memperkenalkan kesusasteraan Tamil Malaysia ke universiti awam di Tamil Nadu.
Malah antara perjuangan utama Rajendran yang sememangnya lahir dalam sebuah keluarga berdarah ‘seni’ adalah mengasuh serta memperkenalkan kepada umum tentang bakat luar biasa masyarakat India di negara ini.
Penulisan seperti cerpen-cerpen penulis India negara ini juga telah digunakan sebagai silibus di empat institusi bertaraf universiti di Tamil Nadu.
Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, Edappadi K Palaniswami dalam majlis yang diadakan secara besar-besaran di Chennai, India pada 20 Januari lalu.
Rajendran yang merupakan bekas wartawan kanan Makkal Osai, membawa pulang wang tunai sebanyak satu lakh rupee (RM6,000) beserta penghargaan lain termasuk penghormatan tertinggi kerajaan negeri setiap kali melawat Tamil Nadu sepanjang hayatnya.
Sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam dunia kewartawanan, Rajendran pernah meraih pelbagai anugerah kebangsaan termasuk sembilan kali memenangi Anugerah Wartawan Terbaik daripada Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) sejak 1981.
Dalam pada itu, Rajendran ketika ditemubual oleh melahirkan rasa syukur dan berbangga kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Malah, beliau turut menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan besar buat semua tokoh sastera Tamil di negara ini.
“Penghargaan serta kebanggaan ini sebenarnya lebih sesuai saya dedikasikan kepada keseluruhan rakyat Malaysia terutamanya tokoh-tokoh tersohor tidak kisah yang sudah lama bertapak mahupun yang masih lagi mengasah bakat. Ini adalah untuk anda semua.
“Jika suatu ketika dahulu, masyarakat berketurunan India hanya dapat mempelajari cerpen, puisi dan kesusasteraan Tamil dari India tetapi kini kesusasteraan Tamil dari negara ini pula diajar di institusi pendidikan di Tamil Nadu.
“Bukankah ini membanggakan kita semua. Ia secara tidak langsung menunjukkan rakyat Malaysia mampu berdaya saing di persada dunia walau apapun yang di ceburi. Malah India sendiri begitu kagum dengan keupayaan kita.
Menurut Rajendran, beliau mengakui tidak mudah baginya untuk mencapai ke tahap ini malah terpaksa menghadapi pelbagai rintangan termasuk kekangan bagi memperkenalkan bakat kesusasteraan Malaysia ke dunia luar.
“Kalau mahu berjaya kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kesusasteraan merupakan sistem sokongan setiap negara. Jadi, kita harus memikul tanggungjawab memajukan seni dan budaya tanah air.
“Saya juga berharap agar ia memberi inspirasi kepada para sastera Tamil khususnya generasi muda untuk terus memartabatkan bidang ini di mata dunia, bakat itu kita ada, kebolehan itu juga kita miliki.
“Apa yang saya ingin pinta, mungkin kerajaan juga dapat bantu golongan dalam memartabatkan kesusasteraan Tamil di negara ini pada masa hadapan, pengiktirafan di negara sendiri jauh lebih membanggakan kita.
“Manakan tidak, bak kata ‘hujan emas di negara orang, lebih baik hujan batu di negara sendiri’,” ujarnya. – MalaysiaGazette