TOKYO – Seramai 60 lagi penumpang kapal Diamond Princess disahkan positif koronavirus selepas ujian dijalankan.
Angka terbaru itu menjadikan jumlah jangkitan akibat virus tersebut bertambah kepada 130 orang, menurut stesen televisyen TBS dan NHK yang memetik sumber Kementerian Kesihatan.
Diamond Princess dikuarantinkan selama dua minggu setelah tiba di Yokohama, selatan Tokyo, pada 3 Februari lalu selepas seorang lelaki yang meninggal dunia di Hong Kong didiagnosis dengan virus itu.
Kira-kira 3,700 orang berada di dalam kapal, yang mempunyai krew 1,100 dan kapasiti penumpang seramai 2,670.
“Banyak penumpang kini mengalami demam. Kemurungan bermula,” kata penumpang Britain, David Able dalam video yang dipaparkan di Facebook.
Seorang lagi penumpang berkata, beliau berharap jaminan tentang keberkesanan kuarantin dan pengudaraan di atas kapal dapat dilakukan.
“Saya akan cemas jika jumlah kes mencecah 200,” kata penduduk Hong Kong berusia 43 tahun yang dikuarantin di atas kapal persiaran tersebut bersama isteri, anak dan beberapa orang keluarganya.
Seorang penumpang yang menggunakan nama akaun Twitter sebagai daxa_tw berkongsi rakaman audio kapten kapal ketika mengumumkan 66 kes baru positif koronavirus. – MalaysiaGazette