KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu akur kepada sokongan ahli-ahli Parlimen lain sekiranya majoriti menyatakan undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menentukan siapa yang layak diangkat menjadi Perdana Menteri.
“Sekiranya pada pembukaan sidang Parlimen akan datang majoriti daripada ahli Parlimen membawa usul undi percaya pada Tun Dr Mahathir untuk memimpin negara sehingga akhir penggal.
“Maka pada hemat peribadi saya beliau terpaksa akur kepada sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam media melaporkan bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri boleh ditentukan sama ada kekal atau sebaliknya oleh suara majoriti ahli Dewan Rakyat.
Menurut Dr Mahathir, perkara itu merupakan satu prinsip kepada sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
Dalam pada itu, Khairuddin juga menegaskan, walaupun Dr Mahathir menyatakan hasratnya untuk bersara selepas persidangan Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), namun perlu akur kepada suara majoriti.
“Tun Dr Mahathir boleh meluahkan perasaannya untuk bersara dan serah jawatan selepas persidangan APEC akan datang.
“Akhirnya Perdana Menteri masa ini juga terpaksa akur kepada kehendak majoriti ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette