ANGIN perubahan bagaikan telah bertukar menjadi ribut yang tidak kunjung reda.
Di kala rakyat bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat, peluang perkerjaan semakin mengecil, perniagaan semakin merosot, pendidikan semakin celaru dan pelbagai lagi telah mendorong penulis bertanya kepada mereka bergelar pemimpin.
Kos sara hidup
Pemimpin, pernahkan kalian benar-benar turun ke kampung-kampung, tinggal beberapa hari dengan orang kampung atau bandar yang hidup susah?
Pernahkah kalian lihat dengan mata kepala kalian sendiri apa yang ada di meja makan rakyat bawahan yang daif di waktu pagi, tengahari mahupun malam?
Di kala kalian asyik bicara apa boleh dimakan kerana penyakit kalian yang mungkin seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan seumpamanya, rakyat di bawah ada yang tidak punya pilihan malahan terus bergelut untuk mencari sesuap nasi buat diri dan anak isteri mereka.
Terlalu sukarkah untuk kalian mengenal pasti apa punca kenaikan harga barang dan kaedah mengatasinya?
Apakah yang sedang kementerian kalian dan agensi-agensi yang megah di Putrajaya dan ibu-ibu negeri di seluruh pelusuk negara lakukan untuk mereka yang terus dihimpit kemiskinan?
Adakah sumbangan dari agensi zakat dan kebajikan masyarakat itu solusi terbaik yang boleh kalian fikirkan?
Pemimpin, bangkitlah dan sedarlah bahawasanya kalian dilantik untuk berkerja kuat, dan bekerja keras buat rakyat khususnya yang paling memerlukan.
Gunakanlah pakar-pakar ekonomi, dan perniagaan negara untuk mengenalpasti dasar, strategi dan inisiatif yang mampu membela ekonomi rakyat bawahan khususnya dan negara amnya.
Peluang pekerjaan
Pemimpin, pernahkah kalian memikirkan betapa kecewanya anak muda yang bergraduasi, dan ibu-bapa mereka apabila ijazah yang diperoleh hanyalah sekeping kertas yang memberi ‘harapan palsu’.
Apakah yang sedang kementerian dan agensi berkaitan lakukan untuk mencipta sebanyak mungkin peluang pekerjaan buat anak muda sejajar dengan kelayakan mereka?
Adakah kalian berfikir semua graduan itu mampu dan perlu menjadi usahawan?
Di manakah tanggungjawab kalian untuk memperkembangkan ekonomi dengan membawa pelabur asing masuk melabur dan pelabur tempatan terus membesarkan modal pelaburan mereka?
Adakah kalian tidak berasa malu apabila terus-terusan meminta graduan berusaha menjadi usahawan dan mencipta peluang pekerjaan sedangkan kalian ‘gagal’ menjadikan negara ini negara berorientasikan perniagaan yang ampuh hingga menjadi destinasi pelaburan utama serantau jika tidak dunia?
Sukar sangatkah untuk kalian membentuk dasar, strategi dan inisiatif strategik pelaburan baharu yang mampu menarik pelabur asing dan tempatan melabur?
Adakah kalian merasakan ‘kecaman’ terhadap graduan dengan mengatakan mereka memilih kerja dan sebagainya itu mampu memperbaiki keadaan?
Sedangkan kemampuan kalian hanya ‘mencipta perkerjaan’ untuk buruh asing iaitu bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan sebagainya yang tidak memerlukan kelulusan akademik untuk melakukannya?
Sektor perniagaan
Sejauh mana kalian bimbang melihat perniagaan semakin merosot baik syarikat besar, sederhana, kecil mahupun warung-warung dijalanan?
Tahukah kalian para peniaga mengeluh melihat kemerosotan pendapatan mereka? Gedung beli belah sunyi sepi, syarikat sudah banyak membuang pekerja dan ada yang menutup terus syarikat mereka atau berpindah ke negara lain.
Tahukah kalian betapa tertekannya mereka yang diberhentikan kerja dan ada diantaranya kedua-duanya sekali iaitu suami-isteri?
Bayangkan betapa tertekannya hidup mereka untuk membayar pinjaman/sewa rumah, kereta, makan dan minum, persekolahan anak-anak dan ibu-ayah yang bergantung hidup dengan mereka.
Tahukah kalian bukan sedikit antara mereka yang bercerai, kemurungan teruk sehingga ada yang bunuh diri dan berbagai lagi cerita duka akibat tidak tertanggung tekanan hidup.
Di mana dasar, strategi dan inisiatif strategik kalian untuk memastikan pelabur asing dan tempatan tidak meninggalkan negara ini di samping menarik pelabur baharu?
Terlalu sukarkah untuk kementerian dan agensi berkaitan mencari solusi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara mesra perniagaan dan pelaburan yang mana paksinya untuk mensejahterakan rakyat melalui peluang pekerjaan yang dicipta?
Dunia pendidikan
Pemimpin, apakah sebenarnya yang kalian sedang perjuangkan? Tidakkah kalian rasa belas kepada anak bangsa baik di peringkat prasekolah hinggalah universiti dengan pendekatan kalian yang sering tidak konsisten?
Pasti negara ini tidak kekurangan tokoh pendidikan, ekonomi, dan lain-lain bidang yang sedia membantu pembangunan model pendidikan baru negara?
Sukar sangatkah untuk membangunkan model pendidikan yang mampu mempersiapkan anak bangsa setanding atau lebih baik dari mereka di negara maju?
Di samping itu, kisah sekolah daif, sekolah tumpu pelajar cemerlang sahaja, guru duka lara, program akademik universiti tidak kompetitif, kisah pensyarah teraniaya dan berbagai lagi akibat barisan kepimpinan yang memimpin institusi-institusi ini ‘tidak kompeten’ banyak menyumbang kepada lesunya dunia pendidikan negara.
Tidak dapat dinafikan bahawasanya sektor pendidikan adalah tunjang pembinaan dan peradaban negara bangsa.
Pemimpin kementerian dan agensi berkaitan, bersegeralah dalam mengatasi segala kepincangan yang ada di sektor ini bermula dengan meletakkan mereka yang benar-benar berjiwa insan guru yang berwawasan, kuat bekerja dan bijak memimpin.
Perlu ada pelan strategik khas untuk memajukan sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan khususnya di kampung-kampung dan bandar yang mana anak-anak dari keluarga miskin belajar.
Cukup-cukuplah melawat dan bercerita akan kisah sekolah-sekolah hebat sahaja. Selamilah hati guru, ibu-bapa dan murid-murid di sekolah rakyat bawahan. Terlalu banyak cerita duka yang ingin mereka ceritakan kepada kalian wahai pemimpin.
Begitu juga dengan agensi dan institusi pendidikan tinggi. Apa sebenarnya peranan agensi dan institusi berkaitan dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara dan kebolehpasaran graduan mencapai tahap cemerlang?
Apakah kualiti yang kita maksudkan jika beratus ribu graduan tidak mendapat pekerjaan? Adakah benar ijazah itu berkualiti? Jika berkualiti, mengapa mereka menganggur?
Disinilah kebijaksanaan perlu dibentuk. Agensi -agensi dan institusi-institusi berkaitan perlu bekerjasama dan bergerak sederap di samping menghapuskan mentaliti bekerja secara silo.
Sebagai contoh, apa sebenarnya tugas pemimpin tertinggi sebuah institusi pengajian? Bermesyuarat pagi dan petang? Meraikan orang-orang berpengaruh? Mengajur program tidak berimpak atau membazir, ke luar negara dan berbagai lagi yang tidak menampakkan apa-apa hasil besar?
Sukar sangatkah untuk kerajaan mencari dan melantik kepimpinan utama yang benar-benar kompetitif dalam membangunkan institusi ini, memajukan anak bangsa dan negara.
Semaklah apa yang dilakukan oleh mereka untuk sepanjang tempoh pentadbiran mereka? Berapa ramai yang mengutamakan diri mereka berbanding memajukan institusi yang mereka pimpin. Perkara sama juga berlaku di kebanyak agensi-agensi lain. Sesungguhnya, sedikit yang berkorban habis-habisan dan mengenepikan kepentingan diri mereka.
Kesimpulan
Kerajaan dan pemimpin agensi dan institusi perlu berasa malu apabila masih belum mampu membangunkan dan melaksanakan dasar, strategi dan inisiatif strategik yang mampu mengatasi ke semua permasalahan di atas iaitu peningkatan kos sara hidup, kurangnya peluang pekerjaan, kelembapan ekonomi dan dilema dunia pendidikan negara.
Untuk itu, hentikanlah segera percakaran politik sesama kalian. Mulalah bekerja dengan tekun dan buktikanlah bahawa kalian benar-benar manusia yang berjiwa pemimpin.
Apapun syabas kepada kelompok pemimpin politik, kerajaan dan institusi yang gigih memajukan institusi yang mereka pimpin. Sesungguhnya kalian adalah pahlawan sebenar negara bangsa kita ini.
Akhir kata, wahai pemimpin, jadilah kalian umpama pelangi yang muncul selepas hujan yang pasti menggembirakan hati kami rakyat jelata dan pastikan kalian tidak menjadi banjir besar selepas hujan yang membawa petaka kepada kami rakyat jelata dan negara. – MalaysiaGazette
PROF. DR. HAIM HILMAN
Pensyarah Pengajian Strategik, Universiti Utara Malaysia.