GOMBAK – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa pilu beliau ke atas pemergian pelakon dan pelawak terkenal, Abam atau nama penuhnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, awal pagi tadi.
Najib yang hadir menemui keluarga Allahyarham Abam berharap ahli keluarga pelawak itu tabah menghadapi ujian daripada Allah.
“Suasana yang sedih dan pilu. Saya di Masjid Gombak Utara jumpa keluarga Allahyarham Abam Bocey.
“Takziah dan saya berharap semua tabah menghadapi dugaan hidup ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan yang beriman. Al-Fatihah,” ucap beliau di laman Facebooknya, hari ini.
Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit berjumpa ahli keluarga arwah Abam antaranya ibunya, Sabariah Arshad.
Jenazah Abam kini sudah berada di Masjid Gombak Utara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu Gombak. – MalaysiaGazette