KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau tidak pernah meminta atau pun menerima rasuah daripada Jepak Holdings bagi meluluskan projek solar di Sarawak.
Membaca keterangan bertulisnya di mahkamah hari ni, Mahdzir memaklumkan beliau menganugerahkan kontrak projek tersebut kepada syarikat itu selepas menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak.
“Saya tidak pernah menerima atau meminta wang rasuah daripada Saidi berkenaan urusan permohonan projek solar hibrid. Saya tidak mempunyai keperluan mendesak untuk meminta atau meneirma wang Saidi.
“Saya hanya menuruti arahan Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan projek solar hibrid dan memberikannya kepada Jepak,” katanya di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan.
Malah menurutnya, wujud desakan daripada pasukan Saidi yang turut menggesannya untuk mempercepatkan urusan penganugerahan kontrak kepada syarikat itu.
“Saya juga mendapat desakan daripada ‘team Saidi’ berkenaan permohonan solar hibrid,” tambahnya.
Menurut beliau, Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsinya Rayyan Radzwill Abdullah pernah bertemunya pada November 2016 kerana tidak berpuas hati terhadap terma kontrak penganugerahan.
Terma kontrak mengatakan bahawa kuasa menamatkan kerja-kerja untuk sekolah-sekolah yang telah disambungkan dengan talian grid adalah di bawah Kementerian Pendidikan.
Ekoran itu Mahdzir mendedahkan beliau telah dihubungi oleh Rizal Mansor yang merupakan pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor meminta agar memudahkan perihal kontrak syarikat tersebut atas hujah perkara ini dalam pengetahuan isteri bekas Perdana Menteri pada masa itu.
“Rizal kemudian memberitahu saya supaya tidak menyukarkan keadaan, dan projek itu adalah dalam pengetahuan “mem”,” katanya lagi pada perbicaraan hari ketiga di sini.
Pembantu Rosmah juga pernah meminta Mahadzir menulis surat agar Najib yang pada masa itu Perdana Menteri dalam masa yang sama Menteri Kewangan memberi pengecualian syarat yang perlu dipatuhi Jepak Holdings, khususnya dalam kontrak.
Najib, ujarnya, telah menyatakan persetujuan untuk memberikan pengecualian kepada Jepak dalam satu minit mesyuarat. -MalaysiaGazette