Home Ekonomi PM umum semakan menurun pertumbuhan ekonomi negara

PM umum semakan menurun pertumbuhan ekonomi negara

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Sesi Dialog Seminaire de Reflexion 2020 anjuran The Chamber of Commmerce & Industri France Malaysia (CCIFM) di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya. foto AFIQ RAZALI, 10 FEBRUARI 2020.

Terkini: Pejabat Perdana Menteri membuat penjelasan terdapat kesilapan dalam ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan KDNK negara tahun ini adalah 4.5 peratus, angka sebenar adalah 4.8 peratus- Penulis

CYBERJAYA- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus tahun ini di sebalik pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi negara.

Manakala bajet defisit pula diunjur mengecil kepada 3.2 peratus disokong oleh dasar fiskal yang baik, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini merupakan kali pertama kerajaan mengumumkan semakan menurun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 meskipun Bank Dunia dan kebanyakan penganalisis serta firma-firma penyelidikan telah mengumumkan ramalan masing-masing lebih awal.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.5 peratus pada tahun ini dan tahun 2021.

“Kami komited untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang baik kepada para pelabur, kami akan menjadi (negara) mesra-perniagaan.

“Malah kerajaan akan menghidupkan semula dasar Perbadanan Malaysia yang akan merapatkan lagi kerjasama di antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya semasa menyampaikan ucaptama dalam sesi dialog bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Perancis Malaysia (CCFIM) di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang pada kadar 4.8 peratus sehingga lima peratus pada tahun ini.

Dalam pada itu, penularan koronavirus juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi Malaysia terutama apabila telah bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini.

Menurut Mahathir, langkah untuk menyekat pengembara dari empat wilayah di China yang terjejas teruk akibat virus terbaharu itu memberi kesan besar terhadap sektor pelancongan negara.

“Kita sudah membuat persiapan yang diperlukan untuk menyambut kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 sama ada dari segi hotel mahu pun lapangan terbang.

“Tetapi sektor pelancongan negara akan menerima kesan yang teruk akibat koronavirus kerana kita telah menyekat pelancong-pelancong dari Wuhan, Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

“China merupakan kumpulan pelancong teramai yang memasuki negara ini tetapi disebabkan virus tersebut, kita akan menerima jumlah pelancong yang lebih rendah berbanding sasaran.

“Kita semua tahu, Malaysia amat terbuka di dalam menerima pelancong asing malah jika ada penjenayah yang mahu melarikan diri dari negara mereka, mereka akan datang ke Malaysia.

“Dalam bab ini, kita perlu berhati-hati,” katanya lagi.

Mahathir berharap perniagaan-perniagaan yang terlibat dalam sektor pelancongan dapat bertahan meskipun terpaksa berhadapan cabaran koronavirus.- MalaysiaGazette