Home Politik Kenapa DAP angkat pengkhianat jadi calon PRU-14?

Kenapa DAP angkat pengkhianat jadi calon PRU-14?

Badrul Hisham Shaharin
Badrulhisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan tindakan DAP yang boleh berkompromi dengan individu didakwa tidak setia kepada negara untuk dijadikan calon PRU-14.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan, Dr Ting Tiong Choon yang hilang hak sebagai wakil rakyat Pujut kerana mempunyai dua kerakyatan membuktikan DAP bersengkongkol dengan pengkhianat negara.

“Malaysia terdapat undang-undang di mana jika seseorang memiliki kerakyatan negara lain maka kerakyatan warganegara Malaysia juga gugur.

“Bagaimana DAP bukan sahaja berkompromi dengan orang yang tidak setia pada tanahair malah menjadikannya pemimpin dan calon pilihan raya.

“Ia sangat memalukan,” katanya dalam hantaran Facebooknya  hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut, Sarawak yang mewakili DAP.

Akhbar Borneo Post melaporkan, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan kerusi kepada Tiong Choon sebagai ADUN Pujut diketepikan dalam keputusan majoriti tujuh berbanding dua hari ini.

Kelayakan Tiong Choon dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul kerakyatannya dibentangkan di Dewan Undangan Sarawak (DUN).

Dalam pada itu, Badrul Hisham juga menyalahkan sikap DAP yang menyebabkan rakyat DUN Pujut kehilangan wakil rakyat untuk tempoh tiga tahun lagi yang kelak akan membebankan Pakatan Harapan (PH).

“PRK tidak akan diadakan kerana sudah lebih tiga tahun. Maka pengundi Pujut akan hilang hak untuk punya wakil rakyat untuk baki penggal pemerintahan kali ini.

“Ini kerana sikap DAP itu sendiri jika isu ini bakal ditangani dengan baik, ia bakal menjadi beban bukan kepada DAP malah PH itu sendiri khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN DAP hilang kerusi Pujut