KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengesahkan dakwaan pembatalan kira-kira 95,000 bilik hotel di negara ini gara-gara koronavirus.
Menurut Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, pembatalan itu disebabkan oleh wabak novel koranavirus yang berlaku di China dan langkah kerajaan negara itu yang menghalang rakyatnya daripada melancong ke negara lain.
“Ya (dakwaan itu benar). Kebanyakan pembatalan tempahan ini adalah daripada pelancong China,” katanya ringkas dalam sidang media hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terbaru yang dihadapi oleh industri pelancongan ekoran penyebaran wabak koronavirus.
Hadir sama adalah Pengarah Kanan Logistik dan Acara Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dan Ketua Jualan Malaysia Airlines, Roslan Ismail.
Sebelum ini tersebar dakwaan di Twitter oleh seorang pengguna media sosial @JarrNadjmudean yang mendakwa industri pelancongan negara kerugian berjumlah RM400 juta ekoran pembatalan tempahan bilik-bilik hotel.
“95,000 booking hotel dekat Malaysia cancel due to Coronavirus. Estimated loss RM40 million, wow just now,” di Twitternya.
Tambah Kok Liang, MATTA bimbang dengan penangguhan penerbangan dari Tanah Besar itu kerana ia akan menjejaskan sektor pelancongan di negara ini.
“Jika lihat kemasukan pelancong dari China cuma 13 peratus, tapi MATTA sangat bimbang dengan komen-komen yang dibuat dan kita takut daripada penangguhan itu, ada negara lain akan ikut serta kata Malaysia tidak selamat.
“Ini yang menyebabkan MATTA bimbang, kita lihat ada juga pembatalan tempahan dari negara lain. Itu yang membuatkan kita bimbang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, MATTA mendesak agar kerajaan segera melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan sektor pelancongan negara tidak terus terjejas.
Katanya, jumlah pelancong-pelancong asing di bandar-bandar besar negara ini juga semakin berkurangan.
“Saya difahamkan kerajaan akan mengkaji dan membuat keputusan, tetapi seperti saya katakan, jika anda berjalan di bandar utama-utama, anda dapat lihat kurangnya pelancong asing di sini.
“Jadi saya menggesa kerajaan supaya segera laksana pakej rangsangan ini. Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette