Home Nasional Peserta mySalam boleh buat tuntutan jika dijangkiti koronavirus

Peserta mySalam boleh buat tuntutan jika dijangkiti koronavirus

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Perluasan Skim Perlindungan Masyarakat (mySalam) di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2020

PUTRAJAYA – Pesakit yang layak menerima manfaat Skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat atau mySalam boleh membuat tuntutan sekiranya dijangkiti koronavirus.

Pesakit layak membuat tuntutan elaun hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari.

Menurut Kementerian Kewangan, sekiranya pesakit koronavirus mendapat komplikasi akibat virus berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan di bawah perlindungan Penyakit Kritikal mySalam.

Tuntutan penyakit kritikal bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) adalah sebanyak RM8,000 dan akan diberikan secara one-off manakala bagi golongan M40 atau bukan penerima BSH, mereka akan menerima faedah penyakit kritikal sebanyak RM4,000 (one-off).

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mensasarkan skim kesihatan takaful percuma yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu akan memberi manfaat kepada lapan juta orang pada tahun ini.

Ia susulan perluasan skim tersebut kepada golongan berpendapatan menengah (M40); meningkatkan had umur untuk penerima BSH dan pasangannya kepada 65 tahun berbanding 55; serta menambah perlindungan penyakit kritikal kepada 45 termasuk polio berbanding 36 sebelum ini yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

“Penerima BSH individu bujang dan Orang Kelainan Upaya yang layak, boleh terus membuat tuntutan bermula pada Mei iaitu selepas proses pendaftaran BSH dimuktamadkan.

“Bagi individu M40, proses pendaftaran akan bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

“Selepas tarikh tersebut, semua penerima yang layak akan dimaklumkan dan boleh mengemukakan tuntutan masing-masing,” katanya semasa berucap pada majlis Perluasan Skim mySalam di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad.

Kerajaan juga katanya, akan melancarkan sebuah aplikasi mudah alih mySalam yang boleh dimuat turun oleh semua penerima yang layak.

Aplikasi tersebut memudahkan proses tuntutan, semakan status tuntutan, baki faedah dan menyediakan maklumat mengenai skim tersebut dengan lebih cepat.

Setakat ini, hampir 10,000 individu telah berjaya mendapat faedah mySalam yang bernilai lebih RM13.7 juta.

Daripada jumlah tersebut, lebih 1,448 individu telah menerima faedah penyakit kritikal dan lebih daripada 8,214 menerima faedah elaun hospitalisasi.

Semasa sidang media kemudiannya, Guan Eng memaklumkan, tiada dana tambahan diperlukan apabila kerajaan meluaskan skim tersebut kepada lebih ramai penerima dan menambah perlindungan kepada lebih banyak penyakit kritikal.

“Kita sudah beri RM2 bilion, itu sahaja.

“Apa yang boleh saya katakan, dana tersebut mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette