PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan kepada Interpol berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap ahli perniagaan yang paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata, dua lagi individu lain itu ialah Patrick Andrew Marc Mahony dan Tarik Essam Ahmad Obaid.
Katanya, tindakan terbaharu itu menyusul selepas SPRM memfailkan kertas pertuduhan ‘absentia’ (tidak hadir) ke atas ketiga-tiga individu itu dalam jenayah penggubahan wang haram di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.
Pertuduhan itu dibuat di hadapan Majistret Mageswary Subramaniam oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Ghaib.
Menurutnya, pertuduhan tersebut melibatkan jenayah berkaitan wang berjumlah AS$69 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang diusahakan oleh kerajaan untuk dibawa balik ke Malaysia.
“Kami (SPRM) sebenarnya telah mengeluarkan waran tangkap untuk mendapatkan tiga individu yang didakwa absentia atas dasar masih boleh didakwa di mahkamah walaupun tidak berada di negara ini.
“Kami sudah menghantar notis berkenaan kepada Interpol untuk membolehkan ketiga-tiga individu itu dibawa pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah dan mereka adalah Patrick Mahony, Tarik Obaid dan Jho Low menerusi kes pertuduhan baharu semalam.
“Kami percaya ketiga tiga individu itu berkemungkinan ada akses kepada butiran lanjut, di mana perginya wang-wang milik 1MDB itu dan Interpol telah dimaklumkan mengenai waran tangkap itu semalam sebab ketiga-tiga mereka tidak berada di sini,” katanya ketika ditanya pemberita di sini.
Terdahulu beliau hadir ke Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan kerjasama Asia Pacific 2020 bertajuk Symposium Gender Maintsreaming and Woman Empowerment to Fight Corruption di Hotel Marriot Putrajaya yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pagi tadi.
Beliau menjelaskan, sebelum ini waran yang dikeluarkan ke atas Jho Low adalah untuk kes lain dan kali ini ia melibatkan pertuduhan baharu membolehkan Interpol mengeluarkan notis merah ke atas ketiga-tiga individu sangat dikehendaki sekarang ini.
Katanya, pendakwaan dan waran tangkap ke atas ketiga-tiga mereka melibatkan konspirasi jenayah wang 1MDB dengan menggunakan undang-undang jelas yang mengatakan selagi perlakuan rasuah berlaku di Malaysia seseorang itu boleh didakwa walaupun ia berada di luar negara,
“Kamu juga boleh mendakwa warga negara Malaysia dan pemastautin tetap Malaysia yang berada di luar negara,” ujarnya.
Ketiga-tiga mereka didakwa atas dua pertuduhan iaitu satu dibawah AMLATFPUAA 2001 dan satu lagi di bawah Akta SPRM 2009.
Ringkasan kertas pertuduhan itu menyebut bahawa ketiga-tiga tertuduh pada 24 Februari 2011 dan 14 JUn 2011 secara bersama bersubahat terlibat dalam konspirasi jenayah dengan Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan balasan rasuah di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009
Pertuduhan itu disebut di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Penggubalan Wang Haram 2001 pula Tarik Obaid dan Patrick Mahony pada tarikh 30 September 2009 didakwa bersama melibatkan diri dalam penggubahan wang haram iaitu dengan menerima sejumlah wang ke akaun 1MDB petrosaudi yang disalurkan melalui akuan 1MDB.- MalaysiaGazette