SATU masa dahulu, dunia ini diperintah oleh golongan aristokrat. Pemerintahan sesuatu kerajaan diwarisi turun temurun oleh keturunan mereka.
Baik atau buruk pemerintah itu, rakyat hanya mampu melihat, tanpa ada suara untuk memilih pemerintah.
Kebangkitan konsep demokrasi sejak kurun ke-5 telah memberikan nafas baharu kepada sistem pentadbiran sesebuah kerajaan.
Ideologi pemerintah sesebuah negara boleh dipilih oleh rakyat, mula mendapat tempat dihati rakyat. Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi semenjak merdeka, namun digabungkan dengan kaedah pemerintahan pra merdeka, maka lahirlah sistem pemerintahan Raja berpelembagaan.
Namun adakah kita benar-benar mengamalkan sistem demokrasi?
Zaman ini, golongan aristokrat yang sebelum ini memerintah secara mutlak, diganti pula dengan golongan oligarki. Hanya golongan tertentu yang merencanakan hala tuju negara. Rakyat dikaburkan dengan idea, mereka diberikan kebebasan memilih pemimpin.
Namun hakikatnya, rakyat hanya diberi pilihan untuk memilih satu antara dua. Adakah ini definasi demokrasi sebenarnya?
Kini, rakyat dimomokkan dengan antara dua pilihan. ANWAR atau MAHATHIR.
Adakah negara ini ketandusan pemimpin sehingga hanya dua sosok ini sahaja yang layak memimpin negara?
Naratif yang cuba dijual oleh pengikut dua sosok ini sama ada, satu pihak lebih baik daripada pesaingnya, atau dipaksa memilih di antara ‘ the lesser evil ‘.
Begitu teruk nasib rakyat negara ini, sehingga terpaksa memilih di antara dua mudarat. Pihak yang di sini kata di sini mudarat kecil di sana mudarat besar, yang di sana pula mengatakan yang di sana mudarat kecil, di sini mudarat besar.
Sedangkan jelas di sini, dua-dua pilihan adalah mudarat kepada rakyat!
Adakah rakyat Malaysia akan terpaksa sentiasa memilih mudarat, tidak kira kecil atau besar sepanjang dua sosok ini bertelingkah?
Sampai bila kita akan terperangkap dalam kitaran yang sama? Sejak 1998, rakyat Malaysia seolah-olah berada di dalam satu dunia yang masanya tidak bergerak.
Tersekat dalam satu ‘time loop’ dan tidak mampu membebaskan diri kita. Jika pada 1998 kita disajikan dengan berita pertembungan antara dua sosok ini, sekarang juga berlaku perkara yang sama.
Yang lucunya, pemimpin bawahan dua sosok ini, terus akur dan taat, mengikut sama bermain permainan gila ini. Sanggup menjadi suruhan kepada dua orang insan yang tidak habis-habis melibatkan rakyat dalam pertembungan mereka.
Rakyat sudah muak dan jelak dengan drama politik antara dua sosok ini. Keadaan ekonomi negara tidak dipedulikan, kebajikan rakyat tidak diendahkan, perpaduan kaum semakin teruk, semakin ramai kehilangan perkerjaan dan seribu satu lagi isu tidak lagi menjadi keutamaan.
Ayuh. Kita perdengarkan suara kita. Kita tunjukkan kepada mereka, kuasa rakyat yang sebenar. Kita berkumpul secara aman, kita zahirkan kepada mereka hasrat kita yag sebenar.
Pada hari Sabtu, 22/02/20, kita berkumpul di SOGO jam 2.00 petang. Himpunan kali ini, tidak akan ada mana-mana ahli politik akan berucap. Hanya sekadar rakyat biasa yang berkongsi nasib yang sama, seperti rakyat yang lain. Mari kita tunjukkan kepada pemimpin-pemimpin di Malaysia, kita tidak mahu lagi hanya sekadar didengari apabila tiba pilihanraya, tetapi diketepikan suara kita bila sudah berkuasa.
Ayuh!
NAZRIN NORAINI
Presiden SEDAR Malaysia