KUALA LUMPUR – Usul sokongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan usaha untuk memecahkan Pakatan Harapan (PH).
Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usul undi percaya kepada Dr. Mahathir yang akan dibawa Pas pada sesi Parlimen bulan hadapan.
“Biasalah usul Pas, kita tak anggap itu satu perkara yang serius, usaha untuk nak pecah belahkah PH, ia (usul undi percaya Pas kepada PM) akan gagal,” katanya selepas menghadiri Majlis Sepetang Alumni Yayasan Anda Akademik di D’Saji Tasik Titiwangsa.
Pada Sabtu lalu, Pas menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa membabitkan Dr. Mahathir, yang dikatakan akan ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’.
Keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang ‘menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati’ terhadap kepimpinan Perdana Menteri, namun sehingga kini tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan itu boleh disifatkan sebagai strategi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan menggesa agar PH tidak tertipu dengan dakyah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
“Dalam PRU (PRU15), jadi ini strategi mereka (Pas) dan kita percaya kita tidak akan tertipu,” jelasnya.
Ditanya adakah isu Pas mahu membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat wajar dibincangkan pada Majlis Presiden PH, Anwar berpendapat ia tidak wajar dibincangkan.
“Tiada asas. Tidak pernah berlaku dalam sejarah (pembangkang bawa usul) tetapi inilah Pas.
“Dia (Pas) boleh hamun cerca orang secara maksimum, sekarang dia beri sokongan maksimum. Bukan canggung sikit tetapi tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi,” katanya.
Langkah itu dilihat mustahil dilaksanakan apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berkata perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan pimpinan parti.
Malah menurut Mohamad Hasan, pendirian mengenainya akan dibuat bila tiba masanya.
“Tak timbul pasal sokong tak sokong, kita ambil maklum, usul belum dibawa lagi, sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku,” katanya semalam. -MalaysiaGazette