Home Politik Anwar kesal ADUN Pujut hilang kelayakan

Anwar kesal ADUN Pujut hilang kelayakan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 12 FEBRUARI 2020.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, semalam.

Anwar berkata, bagaimanapun pimpinan Pakatan Harapan (PH) sedia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka.

“Saya ada di mahkamah semalam dan dengar keputusan Mahkamah Persekutuan, mungkin saya kesal dengan keputusan itu, walaubagaimanapun kita terima (keputusan),” katanya kepada pemberita di Hotel Grand Blue Waves, di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut, Sarawak berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Sarawak menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak pada ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dalam pada itu, Anwar akan meminta ahli-ahli Parlimen PH untuk mengambil berat terhadap teguran yang dibuat oleh beberapa hakim di Mahkamah Persekutuan semasa prosiding semalam.

“Saya tertarik dengan pendirian dibuat oleh ketua hakim (Mahkamah Persekutuan) dan ketua hakim Sabah Sarawak yang memberikan pandangan berbeza golongan minoriti tapi hujah yang sangat kuat.

“Saya percaya Parlimen harus mengambil perhatian dan teguran itu untuk membawa beberapa pindaan yang selaras,” katanya,

Ditanya tentang desakan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee dan Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz agar kewarganegaraan Dr Ting dilucut, Anwar bagaimanapun berkata perkara itu tidak dibangkitkan oleh hakim.

“Itu tak dibangkitkan oleh hakim. Dia kena pilih mana satu, dia sudah pilih Malaysia, kita terima lah Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette