Home Sukan Dembele putus tendon, rehat 6 bulan lagi

Dembele putus tendon, rehat 6 bulan lagi

Ousmane Dembele

BARCELONA – Berita buruk menimpa Ousmane Dembele lagi apabila dia akan diketepikan selama enam bulan selepas putus tendon otot hamstring kaki kanannya ketika menjalani latihan pemulihan kecederaan di Ciutat Esportiva minggu lalu.

Pemain sayap muda Perancis itu mengalami kecederaan otot sama pada Oktober lalu dan terpaksa berehat selama tiga bulan.

Barcelona menerusi laman web rasmi memaklumkan Dembele akan berehat panjang lagi selepas menjalani pembedahan di Turku, Finland.

Pembedahan diketuai oleh pakar bedah ortopedik Dr. Lasse Lempainen.

Barcelona kini terus kempunan menggunakan khidmat pemain bernilai €125 yang boleh menggunakan kedua-dua kaki dengan selesa.

Perancis juga bakal terlepas peluang menggunakan khidmat beliau menjelang UEFA Euro 2020 nanti.

Dembele baru mencatatkan sembilan penampilan dengan lima daripadanya sebagai kesebelasan utama dan hanya menjaringkan satu gol sepanjang musim 2019/2020 untuk Barcelona ketika ini.

Dembele pernah diramal sebagai salah satu bintang muda dunia selepas melakukan debut untuk Rennes di Ligue 1 pada usia 14 tahun.

Pada musim panas 2016, dia kemudiannya berhijrah ke Borussia Dortmund dan  menjaringkan 12 gol dan menyumbang 20 bantuan gol pada musim pertamanya di sana. – MalaysiaGazette