KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mujahid Mohd Yusof digesa menjawab pendedahan sebuah media yang mendakwa Lembaga Tabung Haji akan mula menghapuskan subsidi bagi Jemaah Haji kecuali golongan B40 pada tahun depan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki yang membuat gesaan tersebut berkata, patutlah Menteri di Jabatan Perdana Menteri beriya-iya mempromosikan prinsip Istitoah (syarat kemampuan ) dalam teks khutubah Jumaat di Wilayah Persekutuan pada minggu lalu.
“Mohon YB Menteri Mujahid Yusof Rawa tampil menjawab dan memberikan pencerahan terhadap Laporan The Edge ini. Jangan pula sekali lagi diserahkan tanggungjawab kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk menjawab ya!,” katanya melalui satu kenyataan.
Semalam, TheEdge dalam laporannya berkata, Tabung Haji yang sedang melaksanakan penstrukturan semula merancang untuk menghapuskan subsidi haji buat kali pertama, kemungkinan mulai tahun depan.
Namun, ia dikecualikan kepada golongan B40, menurut laporan yang memetik sumber sebagai berkata.
Menurutnya, Tabung Haji sepatutnya membuat pengumuman tersebut tahun ini tetapi ditangguhkan sehingga mendapat ‘lampu hijau’. – MalaysiaGazette