KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala suaminya parah selepas motosikal yang mereka tunggangi melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, motosikal dinaiki Mohd Haizrool Hasram Mohd Hashim, 36, bersama isteri Norliza Samsuri, 44, dipercayai melanggar bahagian sisi kanan belakang kenderaan Ford Ranger, yang dari arah Tol Sentul menghala Jalan Tun Razak, yang berhenti di lorong tengah akibat kesesakan lalu lintas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri itu tercampak di atas jalan dan Norliza meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penunggang motosikal (wanita) yang cuba mengelak kemalangan itu pula mengalami kecederaan ringan. Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan rawatan. – Bernama