Home Ekonomi Masih banyak ruang untuk turunkan kadar faedah

Masih banyak ruang untuk turunkan kadar faedah

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Yunus bercakap pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Suku Keempat tahun 2019 di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) melihat masih ada ruang untuk melakukan pengurangan kadar faedah selepas pertumbuhan ekonomi suku keempat 2019 merekodkan prestasi terendah dalam tempoh lebih sedekad.

Selain itu, ekonomi Malaysia juga diancam oleh impak wabak koronavirus yang menjejaskan sektor pelancongan dan perdagangan.

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, kadar inflasi negara masih rendah memberikan ruang yang secukupnya kepada sebarang penyelarasan dasar monetari.

Pada 21 Januari lalu, BNM mengambil langkah mengejutkan apabila mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan kepada 2.75 peratus sebagai langkah pre-emptif untuk menjamin pertumbuhan ekonomi negara.

“Keputusan berhubung dasar monetari dibuat secara kolektif, saya tidak boleh mendahului jawatankuasa tersebut.

“Tetapi apa yang saya boleh maklumkan di sini masih banyak ruang untuk melakukan penyelarasan kadar faedah kerana kadar inflasi ketika ini adalah rendah,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku keempat 2019 di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan terendah dalam tempoh sedekad kepada 4.3 peratus bagi keseluruhan tahun 2019 manakala pada suku ketiga ekonomi hanya berkembang pada kadar 3.6 peratus, terendah dalam tempoh 41 bulan.

Nor Shamsiah memberitahu, prestasi lemah tersebut disebabkan oleh gangguan bekalan dalam sektor komoditi pada suku keempat 2019.

Tambahnya, dasar monetari akan terus dipandu oleh risiko-risiko terhadap tinjauan masa hadapan pertumbuhan dan inflasi.

Inflasi pada suku keempat 2019 berada pada paras 1.4 peratus.

Jelasnya, purata inflasi keseluruhan bagi tahun 2020 diunjurkan lebih tinggi berbanding dengan tahun 2019 tetapi kekal pada tahap yang sederhana.

Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan harga komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik.

Inflasi asas pada amnya dijangka stabil, mencerminkan kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar. – MalaysiaGazette