KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasa malu dengan ekonomi yang semakin gawat sekarang.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rakyat semakin terbeban dengan kos-kos kehidupan akibat dasar-dasar ekonomi yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) terlalu lemah.
“Guan Eng dan Azmin Ali sepatutnya berasa malu dengan pencapaian terburuk ini kerana pada tahun 2008 walaupun terdapat krisis kewangan global, ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN (Barisan Nasional) mencatat pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus.
“Ini jelas jauh lebih tinggi daripada pencapaian kerajaan PH.
“Walaupun negara mengalami tempias kegawatan kewangan 2008, kerajaan BN telah berjaya memberikan bonus untuk kakitangan awam dan pembayaran rebat tunai subsidi minyak untuk meransang ekonomi domestik,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menjelaskan ekonomi negara semakin merosot dan ini menyebabkan ramai pelabur asing lari dari melabur ke negara ini dan ia mencatatkan pertumbuhan paling buruk dalam sejarah ekonomi Malaysia.
“Ekonomi negara semakin merosot di bawah pemerintahan kerajaan PH walaupun ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan terendah dalam tempoh sedekad kepada 4.3 peratus bagi keseluruhan tahun 2019.
“KDNK Malaysia juga merosot kepada 3.6 peratus sekali gus menjadikan kedudukan terendah dalam tempoh 41 bulan.”
Katanya, berbagai alasan yang diberikan oleh pimpinan PH namun ekonomi tetap gagal di bawah pemerintahannya.
“Jadi, apakah alasan kerajaan PH dengan kegagalan ekonomi ini? Salah BN lagi ke?” soalnya.
Sebagai contoh, tegasnya, pengeluaran minyak sawit menguncup 16.9 peratus apabila India sebagai negara pengimport berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada import minyak dan bertambah malang apabila hubungan diplomatik Malaysia dan India semakin teruk. – MalaysiaGazette