KUALA LUMPUR – Walaupun ekonomi Malaysia sederhana pada kadar 3.6% pada suku keempat dan 4.3% pada keseluruhan tahun lalu namun ia lebih baik berbanding beberapa negara serantau yang mencatat perkembangan yang lebih rendah.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, trend ini dilihat sejajar dengan pertumbuhan negara-negara Asia yang lain.
Menurutnya, prestasi ekonomi yang menyederhana ini secara keseluruhannya disebabkan kedudukan ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan ekoran kelemahan dalam aktiviti perdagangan global.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh di samping menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Pakej rangsangan ekonomi juga sedang diperincikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan juga akan memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan bagi tahun 2020 serta inisiatif baharu di bawah pakej rangsangan ekonomi yang akan diperkenalkan pada penghujung Februari 2020 dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini.
Artikel berkaitan: Ekonomi Malaysia tumbuh 4.3% tahun 2019, terendah dalam 10 tahun
Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan pada suku keempat 2019 disokong oleh aktiviti permintaan dalam negeri yang terus menggalakkan, terutamanya penggunaan swasta yang berkembang sebanyak 8.1% berbanding 7.0% pada suku ketiga 2019.
Pelaburan swasta juga turut mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik, iaitu 4.2% berbanding 0.3% pada suku sebelumnya.
Dari sudut pengeluaran, pertumbuhan tersebut disumbang oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Prestasi sederhana ekonomi pada tahun lalu didorong oleh penguncupan sektor pertanian dan perlombongan.
Bank Pusat itu berkata, penguncupan sektor pertanian adalah disebabkan oleh faktor ketidaktentuan cuaca dan pengurangan penggunaan baja pada awal tahun yang telah memberi kesan kepada pengeluaran kelapa sawit.
Sektor perlombongan juga mencatatkan penguncupan, namun pada kadar yang lebih baik berikutan pemulihan pengeluaran di beberapa loji yang telah ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual pada suku sebelum ini.
Azmin berkata, langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol dan memastikan harga petrol yang stabil akan membantu meringankan beban sara hidup rakyat, di samping memperkukuhkan pelancongan domestik.
Tambahan pula, Bank Negara Malaysia telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% pada 22 Januari 2020 yang turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri agar terus berkembang.
“Menyedari kepentingan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, langkah yang diambil oleh kerajaan sebelum ini bagi mengurangkan harga petrol dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah mengurangkan kadar inflasi kepada 0.7% (2018: 1.0%) dan seterusnya mendorong kepada peningkatan kuasa beli rakyat.
“Ini membolehkan rakyat meningkatkan perbelanjaan untuk keperluan hidup, juga dapat dilihat melalui perbelanjaan dan penggunaan swasta yang tinggi,” ujarnya.
Menyedari prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020 dijangka terkesan ekoran wabak Covid-19) menyebabkan berlakunya gangguan bekalan global, kerajaan sedang mengambil langkah proaktif mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dalam negeri, selain menggalakkan eksport terutamanya produk berkaitan penjagaan kesihatan, elektrik & elektronik dan keluaran berasaskan kelapa sawit. – MalaysiaGazette