Home Seni Hidup Adira tak kisah digelar Ratu Soundtrack

Adira tak kisah digelar Ratu Soundtrack

Lagu Maaf adalah single solo Adira bersama Nova Music (M) Sdn. Bhd. selepas Pujaan Hati yang menjadi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda.

KUALA LUMPUR – Cukup sinonim dengan gelaran Ratu Soundtrack – penyanyi Adira Suhaimi bakal muncul dengan sebuah lagi lagu runut bunyi terbaharu berjudul Maaf.

Menurut Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, lebih daripada 10 buah lagu runut bunyi pernah dinyanyikannya sejak pembabitannya dalam dunia nyanyian hampir sedekad yang lalu.

Bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata bernama Anggrek, 3, Asan, 2 dan Anggun, 6, itu tidak kisah dengan gelaran Ratu Soundtrack malah menganggap kepercayaan diberikan itu sebagai rezeki.

Bahkan jelas lagi, ia memberi kelebihan padanya memandangkan lagu Maaf akan berkumandang di kaca televisyen setiap hari selama hampir lima minggu.

Justeru, ia secara tidak langsung memberikannya promosi percuma seterusnya menjadikan kerjaya seninya terus kekal relevan.

“Saya tidak kisah dipanggil sebagai Ratu Soundtrack kerana menganggap peluang itu pun sebagai rezeki juga. Bukan mudah sebenarnya seseorang penyanyi untuk dipilih menyanyikan lagu runut bunyi yang akan dimainkan berulang kali di kaca televisyen.

“Jika hendak mempromosi sendiri di kaca tv, mungkin ia akan menelan kos yang tinggi. Jadi saya menganggap peluang ini sebagai salah satu strategi promosi. Selain di corong radio, peminat juga boleh mendengarkan lagu saya hampir setiap hari di kaca televisyen.

“Saya juga menganggap diri saya sangat bertuah, malah saya bersyukur apabila lagu digunakan sebagai soundtrack drama. Secara tidak langsung ia akan mengembangkan lagu itu apatah lagi drama dan lagu memang saling memerlukan antara satu sama lain,” kata Adira.

lebih daripada 10 buah lagu runut bunyi pernah dinyanyikan Adira sejak pembabitannya dalam dunia nyanyian hampir sedekad yang lalu.

Lagu Maaf ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dipilih sebagai lagu tema utama drama bersiri terbaharu berjudul Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda TV3 mulai 12 Februari lalu.

Drama lakonan Azlee Khairi, Azar Azmi, Ruhainies dan Fizo Omar yang diterbitkan oleh Zamriez Golden Pictures adalah adaptasi novel hasil karya Emy Roberto dan diarahkan oleh Zamri Zakaria.

Bercerita mengenai peluang bekerjasama dengan komposer Ikhwan, Adira memberitahu ia satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana beliau seorang komposer muda yang sangat berbakat.

“Ini kali ketiga saya bekerja dengan Ikhwan iaitu selepas Takdir Tercipta dan Pujaan Hati. Ia satu pengalaman menyeronokkan kerana Ikhwan seorang yang sangat berbakat. Karya ciptaanya juga sangat segar dan mengikut arus muzik semasa.

“Saya menggemari Maaf kerana kekuatannya terletak kepada lirik dan dan lagunya yang sangat berkaitan dengan jalan cerita dalam novel. Terus terang sekiranya saya diberi peluang untuk menyanyikan lagu soundtrack lagi, saya tidak kisah asalkan nama saya terus kekal relevan dalam industri apatah lagi dengan kehadiran ramai penyanyi baharu,” katanya lagi.

Maaf adalah single solo kedua penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu bersama Nova Music (M) Sdn. Bhd. selepas Pujaan Hati yang menjadi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda yang dilakonkan oleh Remy Ishak dan Mira Filzah.

Lagu Maaf dipilih sebagai lagu tema utama drama bersiri terbaru berjudul Maaf Tak Indah di slot Samarinda TV3 mulai 12 Februari lalu.

Video lirik single itu yang juga ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama Ayden Ali itu meraih lebih lapan juta tontonan di saluran YouTube malah turut muncul antara lagu paling popular sepanjang tahun lalu.

Adira juga pernah berduet bersama Hafiz Suip menerusi lagu Takdir Tercipta yang juga terbitan serta edaran Nova Music tahun lalu.

Lagu tersebut turut dipilih sebagai lagu soundtrack drama Lelaki Mu Yang Dulu lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose juga untuk saluran TV3.

Sementara itu, Maaf telah dilancarkan serentak dengan siaran episod pertama drama bersiri Maaf Tak Indah pada 12 Februari lalu dan kini boleh distrim di semua pelantar
muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer.

Video lirik single tersebut juga kini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette